My Add

Sunday, 10 November 2013

200,000 dijangka hadiri HPPNK 2013 - Ismail Sabri

 * ORANG ramai melawat gerai-gerai pameran dan jualan pada Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2013 di padang MPK 2, Kuantan, semalam. Acara itu akan berlangsung sehingga 15 November ini.
KUANTAN, SABTU, 09 November, 2013: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menyasarkan sebanyak 200,000 pengunjung hadir memeriahkan sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2013 yang berlangsung selama lapan hari bermula semalam di padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) 2 di sini.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sambutan kali ini melibatkan penyertaan sebanyak 72 gerai pameran termasuk 14 pavilion negeri-negeri.

"Selain itu, terdapat juga penyertaan daripada 40 syarikat swasta yang mempamerkan teknologi dan aplikasi terkini dalam industri pertanian negara.

"Oleh demikian, dianggarkan sebanyak RM12.5 juta nilai jualan akan diperoleh sepanjang program tersebut berlangsung," katanya ketika berucap dalam majlis perasmian program tersebut di sini hari ini.

Yang turut hadir dalam majlis yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ialah timbalan beliau, Datuk Tajuddin Abdul Rahman dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Shafik Fauzan Sharif.

Menurut Ismail Sabri, pihaknya turut menganjurkan Konvensyen HPPNK dengan melibatkan 500 golongan muda termasuk ikon-ikon pertanian yang berjaya, dua hari sebelum majlis perasmian berlangsung.

"Konvensyen itu bukan sahaja bertujuan menarik minat golongan muda terhadap sektor pertanian tetapi merupakan usaha untuk mengubah persepsi bahawa sektor ini mampu menjamin masa depan mereka.

"Kementerian juga telah mewujudkan Unit Agropreneur Muda yang menawarkan khidmat latihan, bimbingan, perundingan, sokongan teknikal, kewangan dan pemasaran secara berpakej bagi membantu mereka untuk terus maju dalam bidang pertanian," jelas beliau.

Tambahnya, beliau turut berikrar untuk menghapuskan peranan orang tengah yang menjadi punca utama majoriti golongan peladang, penternak dan nelayan di negara ini masih mundur dan miskin.

"Dalam usaha menghapuskan lapisan harga yang dikuasai oleh orang tengah, kita harus mengukuhkan rantaian nilai di peringkat Pertubuhan Peladang dan Persatuan Nelayan.

"Oleh sebab itu, bermula tahun depan, saya telah mengisytiharkan 'Jihad Menghapuskan Orang Tengah'. Jihad ini tidak akan berjaya tanpa sokongan semua. Ahli-ahli Pertubuhan Peladang dan Persatuan Nelayan perlu menyahut seruan ini kerana sudah sampai masanya kita mengikis sikap bergantung pada orang tengah," jelasnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment