My Add

Sunday, 10 November 2013

Azhar Manufacturing terima anugerah khas PM

* MARIAM Boon bersama trofi Anugerah Khas Perdana Menteri Sektor Pertanian dan Industri Asas Tani yang dimenangi syarikat Azhar Manufacturing Sdn. Bhd. sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2013 di Kuantan, semalam.
KUANTAN,  SABTU, 09 November, 2013: Azhar Manufacturing Sdn. Bhd. yang merupakan syarikat pengeluar pelbagai jenis kerepek dan kuih tradisional menerima Anugerah Khas Perdana Menteri Sektor Pertanian dan Industri Asas Tani sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2013.

Syarikat yang beralamat di Rengit, Batu Pahat, Johor itu menerima hadiah RM60,000, trofi dan sijil penyertaan yang disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam majlis perasmian HPPNK 2013 di Padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) 2 di sini hari ini.

Selain itu, Azhar Manufacturing turut menerima Anugerah Industri Asas Tani Jaya Peringkat Kebangsaan yang membawa pulang RM25,000 dan sijil.

Penghasilan pelbagai jenis kerepek dan kuih tradisional syarikat berkenaan adalah berasaskan hasil tanaman kontan seperti ubi kayu, keledek biru, pisang tanduk, keladi, pisang nipah dan sukun.

Syarikat itu telah mengedar produknya menerusi pasar raya dan pasar raya besar utama seperti Giant, Carrefour, Tesco, Mydin dan Jusco dengan 67.32 peratus dipasarkan di Semenanjung Malaysia manakala 32.68 peratus dieksport ke Singapura.

Pengarah Urusan syarikat itu, Mariam Boon berkata, anugerah itu terutama Anugerah Khas Perdana Menteri merupakan satu pengiktirafan yang cukup bermakna bagi dirinya yang sudah 23 tahun terlibat dalam industri tersebut.

"Matlamat kami selepas ini adalah membuka cawangan di seluruh Malaysia dan mempelbagaikan lagi produk berasaskan ubi serta pembungkusan yang lebih menarik agar diterima setiap golongan terutama kanak-kanak," katanya.

Anugerah pada HPPNK 2013 terbahagi kepada dua kategori iaitu individu dan berkumpulan yang mana individu menerima hadiah RM20,000 dan sijil manakala berkumpulan RM25,000 dan sijil.

Sebanyak enam anugerah untuk kategori individu iaitu Peladang Jaya Lelaki dan Wanita Peringkat Kebangsaan yang dimenangi Rosdi Daud dari Terengganu dan Natipah Isnin (Melaka); Anugerah Nelayan Jaya Peringkat Kebangsaan (Tengku Adnan Tengku Husin, Pahang); Penternak Jaya Peringkat Kebangsaan (Mohd. Nasir Samat, Negeri Sembilan); Penternak Ikan Jaya Peringkat Kebangsaan (Lim Siak Hooi, Kedah) dan Siswazah Pertanian dan Industri Asas Tani Jaya Peringkat Kebangsaan (Dr. Shirley Ooi, Kedah).

Bagi kategori kumpulan pula, selain Anugerah Industri Asas Tani Jaya Peringkat Kebangsaan yang dimenangi oleh Azhar Manufacturing, terdapat enam lagi anugerah iaitu Unit Peladang Jaya Peringkat Kebangsaan (Unit Peladang Kampung Paya Rumput Jaya Satu, Melaka); Kumpulan Tani Jaya Peringkat Kebangsaan (Estet Padi NKEA Banir Tembus, Perlis) dan Kumpulan Wanita Jaya Peringkat Kebangsaan (Kumpulan Pengembangan Wanita Kampung Sinaran Baru, Johor).

Tiga lagi anugerah adalah Pertubuhan Peladang Jaya Peringkat Kebangsaan (Pertubuhan Peladang Kawasan Kampung Pelet, Pulau Pinang); Persatuan Nelayan Jaya Peringkat Kebangsaan (Persatuan Nelayan Kawasan Bruit, Sarawak dan Inovasi Pertanian dan Industri Asas Tani Peringkat Kebangsaan (Agus Food Industries Sdn. Bhd. dari Pulau Pinang). - UTUSAN

No comments:

Post a Comment