My Add

Saturday, 2 November 2013

Bantuan AIM harapan baharu usahawan DUN Sungai Limau

YAN, SABTU, 02 November, 2013: Sejak menjadi peminjam skim Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) pada 2003, usahawan kuih tradisional Nor Aini Mat Ali, 36, dapat mempelbagai aktiviti perniagaannya sehingga mampu membuka sebuah kedai runcit.

Kini pendapatannya mencecah lebih RM4,000 sebulan berbanding RM500 sebelum ini.

"Dulu kehidupan amat susah. Payah untuk mendapatkan pinjaman bank kerana tiada apa-apa untuk dijadikan jaminan dan melalui skim pinjaman AIM ia memberi harapan baharu," katanya kepada Bernama setelah menerima anugerah AIM bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau yang disampaikan Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir di Sekolah Kebangsaan Sungai Limau, dekat sini, semalam.

Beliau merupakan antara 10 usahawan berjaya dalam DUN Sungai Limau yang menerima trofi dan sijil pengiktirafan daripada Mukhriz pada majlis itu.

Nor Aini berkata, beliau mula meminjam RM2,000 daripada AIM pada 2003 untuk menjalankan perniagaan kuih tradisionalnya dan kemudian menambah pinjaman itu kepada RM30,000 sehingga mampu membuka kedai runcit, selain meneruskan perniagaan kuih tradisionalnya.

Bagi seorang lagi penerima anugerah itu, Zaiton Ahmad, 57, yang merupakan rakan AIM sejak 18 tahun lepas, berkata beliau meminjam RM800 untuk permulaan bagi menyewa bendang untuk mencari nafkah, dan kemudiannya pinjaman dapat ditambah kerana prestasi bayaran balik yang baik.

"Daripada pinjaman RM800 kini saya mendapat RM50,000 dan kini memiliki 15 relung sawah daripada tidak mempunyai apa-apa harta 10 tahun yang lepas," katanya.

Zaiton berkata, bantuan AIM serta kerja keras selama ini turut memberi kesenangan kepada anak-anak yang kini juga bersama-sama mengusahakan sawah, selain memberi peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

Seorang lagi usahawan AIM, Natipah Ismail, 55 berkata kehidupannya kini lebih senang dengan bantuan RM1,000 yang diberikan AIM bagi memulakan perniagaan jahitan selepas berhenti kerja pada 1996.

"Daripada RM1,000 itu, saya usahakan perniagaan jahitan dan daripada hasil itu saya juga menyewa sawah bendang untuk diusahakan bagi menambah pendapatan keluarga.

"Pendapatan bulanan kini telah meningkat kepada kira-kira RM4,000 daripada RM500, selain itu dapat juga membeli sawah bendang daripada hasil simpanan selama ini," katanya.

Menurut Pengerusi AIM, Dr. Zubir Harun, sebanyak RM33 juta pinjaman telah dikeluarkan kepada 2,750 orang di daerah Yan termasuk DUN Sungai Limau tahun ini berbanding RM19 juta kepada 666 orang pada tahun 2012. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment