Pusat Internet 1Malaysia ubah hidup seharian di Sungai Limau
YAN, SABTU, 02 November, 2013: Pusat Internet 1Malaysia(PI1M), yang ditubuhkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di tiga kawasan dalam Dewan Undangan Negeri Sungai Limau sejak Januari lepas telah membawa perubahan besar dalam kehidupan seharian penduduk kawasan berkenaan.
Tiga pusat internet itu yang dibuka di Kuala Sala, Sungai Limau Dalam dan Bukit Besar, bukan sahaja membantu pelajar dalam pelajaran mereka, tetapi juga turut membantu kaum wanita dalam bidang perniagaan.
Pengusaha kedai gunting rambut di Kuala Sala, Siti Mariam Batin, 56, berkata, pusat itu telah membantu beliau mendapatkan maklumat dalam bidang yang diceburinya.
Siti Mariam yang tidak mahu terlepas peluang untuk mempelajari ilmu teknologi maklumat ini berkata beliau amat teruja dengan maklumat yang boleh diperolehnya.
"Baru saya tahu dengan internet kita dapat lihat berita yang terkini. Ada facebook yang kita boleh iklankan perniagaan kita. Kiranya semua boleh buat dengan internet ini," kata ibu kepada dua anak itu kepada Bernama di sini.
Siti Mariam berkata, beliau turut menyertai program Get Malaysian Business Online (GMBO) dengan membina laman sesawang bagi mengembangkan perniagaan gunting rambutnya serta mencari peluang perniagaan lain untuk menambah pendapatan.
Katanya, pusat itu telah membawa perubahan besar dalam kehidupannya, yang agak ketinggalan dalam pelbagai perkara.
Bagi seorang pelajar Mashitah Nasir, 17, dari Kampung Permatang Tepi Laut, Kuala Sala di sini, PI1M banyak membantunya untuk mengetahui lebih lanjut mengenai komputer dan teknologi maklumat.
"Sebelum ini saya tak berpeluang menggunakan komputer dan melayari internet kerana nenek saya tidak mampu menyediakan kemudahan itu," katanya kepada Bernama ketika ditemui di PI1M Kuala Sala di sini.
Pelajar Tingkatan 5, Sekolah Menengah Kebangsaan Mu'adzam Shah itu berkata pada mulanya dia takut untuk menggunakan kemudahan itu kerana tidak pernah didedahkan dengannya dan tidak berpeluang untuk menggunakannya.
"Sebelum ini saya memang tidak tahu hal berkaitan komputer dan internet. Nak pegang komputer pun takut sebab memang tak reti (pandai). Boleh dikatakan kami penduduk luar bandar ini sering ketinggalan sebab kemudahan terhad," katanya.
"Sekarang saya dah boleh guna komputer tanpa rasa takut selepas diajar oleh tenaga pengajar PI1M," katanya.
Katanya, kemudahan yang disediakan kerajaan itu dapat digunakannya untuk menyiapkan tugasan serta mencari pelbagai maklumat berguna untuk tujuan pembelajaran dalam menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi.
"Bagi saya PI1M ini banyak membantu bukan sahaja pelajar seperti saya malah dapat membuka mata generasi muda untuk menimba ilmu lebih banyak dengan kemudahan yang disediakan kerajaan. Terima kasih kepada kerajaan atas idea menubuhkan PI1M di kawasan ini terutamanya dalam kawasan Sungai Limau," katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment