* MOHD.. Shazmie Ramlee Charlene Lim ABDUL Hadi Awang Kechil bermesra dengan sebahagian pelatih Program Latihan Khidmat Negara di Wangsa Maju, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/RUSHDI SALLEH |
Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata, objektif itu selaras dengan Akta Khidmat Negara 1952 bertujuan melahirkan masyarakat yang boleh berkhidmat secara sukarela dalam tiga pasukan keselamatan iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).
Menurut beliau, pelatih PLKN didedahkan dengan tiga kerjaya itu semasa mengikuti latihan malah terdapat segelintir mereka sudah mengisi borang untuk menyertai cabang pertahanan negara tersebut.
"Sehubungan itu, kita telah bekerjasama dengan Skuad Muda KDN yang ditubuhkan Kementerian Dalam Negeri dan Pasukan Markas ATM bagi memantau pelatih yang berminat menyertai askar wataniah selepas tamat latihan supaya meneruskannya dan tidak terhenti separuh jalan," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas majlis pelepasan pulang sebanyak 804 orang pelatih di Padang JLKN, Bangunan Zetro, di sini hari ini.
Dalam pada itu, mengulas mengenai insiden kematian seorang pelatih PLKN di Kem Pinggiran Pelangi di Muadzam Shah, Rompin baru-baru ini, Abdul Hadi berkata, pihaknya sudah melakukan yang terbaik dalam mendidik pelatih-pelatih PLKN.
Menurut beliau, perkara itu di luar kawalan pihaknya memandangkan program tersebut disertai pelatih yang datang daripada pelbagai latar belakang.
"Jangan hanya mencari kesilapan kami, tetapi bersama-samalah kita bekerjasama untuk mendidik anak-anak muda ini dengan lebih baik supaya kejadian seperti ini tidak berulang," katanya.
Sementara itu, pelatih, Mohd. Shazmie Ramlee, 18, berkata, nilai patriotik yang dipupuk melalui empat teras modul sepanjang menyertai PLKN melatihnya supaya sentiasa cintakan negara.
"Saya akan cuba untuk menerapkan segala yang dipelajari di kem ini selama tiga bulan dalam kehidupan seharian dan terus berusaha memajukan diri supaya dapat berbakti kepada masyarakat dan negara kelak," katanya.
Rakannya, Charlene Lim, 18, dari Sabah pula berkata, dia tidak sabar pulang bertemu keluarga namun dalam masa sama berasa sedih kerana terpaksa berpisah dengan rakan-rakannya di Semenanjung.
"Sepanjang tempoh latihan ini kami banyak berkongsi kenangan suka dan duka bersama walaupun berbeza kaum dan agama," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment