My Add

Saturday, 2 November 2013

Buat transformasi maruah

Oleh AZELI ALI
 
 Rahmad Isahak 

PULAU PINANG, JUMAAT, 01 November, 2013: Pengundi Melayu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau disaran melakukan transformasi maruah atas nama Islam dengan mengundi Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil 4 November ini sebagai hukuman kepada Pas.

Bekas ahli DAP, Rahmad Isahak berkata, mandat yang diberi kepada calon BN, Dr. Ahmad Sohaimi Lazim merupakan fardu kifayah dan bukan strategi politik semata-mata.

Ini kerana menurutnya, kedudukan orang Melayu masih terpelihara dalam BN dengan UMNO menjadi peneraju Kerajaan Pusat dan pada masa sama masih menjaga kepentingan kaum lain di negara ini.

"Berbeza dengan pembangkang kerana kerusi Melayu di Parlimen hanya 40 peratus dengan Pas memiliki 31 kerusi berbanding DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang menguasai 58 kerusi.

"Kedudukan Pas dalam pembangkang juga lebih kepada pemberi kerana mereka dilihat sering dipergunakan oleh DAP untuk mendapatkan sokongan orang Melayu sedangkan DAP sendiri meminggirkan orang Melayu di dalam parti itu," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Rahmad yang juga Presiden Kongres Melayu Pulau Pinang (KMPP) menjelaskan, biarpun UMNO sering dikecam terutama oleh Pas, apa yang pasti kepemimpinan UMNO tidak pernah membenarkan komponen BN memperdagangkan agama Islam dan Melayu seperti yang dilakukan Pas selama ini.

Tambahnya, tindak-tanduk pemimpin Pas itulah yang membuatkan timbul desakan dari akar umbi parti itu agar hubungan Pas dalam pakatan pembangkang dikaji semula.

"Sebagai bekas ahli DAP, saya sendiri tidak pernah mendengar pemimpin Pas membantah tindakan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang cuba menarik sokongan Melayu dengan slogan kepimpinan ala Khalifah Umar Abdul Aziz atau pentadbiran Amar Maaruf Nahi Mungkar.

"Jadi saya yakin selagi Pas masih bersekongkol dengan DAP, imejnya sebagai sebuah parti Islam akan tercalar dan memberi impak buruk kepada ahli-ahlinya yang fanatik dan taksub dengan parti itu," ujarnya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment