My Add

Saturday, 2 November 2013

BN membawa pembangunan

 * AHMAD Sohaimi Lazim melambai tangan kepada orang ramai ketika menghadiri Majlis Anugerah Usahawan AIM yang dirasmikan Mukhriz Mahathir di Sekolah Kebangsaan Sungai Limau, Yan, Kedah, semalam.
DIANGGAP sebagai antara 'peluru akhir' untuk meraih sokongan, Pas menggunakan dua sekutunya berkempen dalam pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau semalam.

Pertamanya, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim manakala keduanya, pemimpin DAP Kedah.

Anwar menjelajah beberapa kawasan di Sungai Limau untuk bertemu penduduk dan berceramah manakala pemimpin DAP pula mengedarkan risalah kepada penduduk Cina.

Sememangnya, apa yang mereka lakukan tidak salah kerana mereka sekutu Pas, tetapi soalnya apakah nasib penduduk Sungai Limau selepas mereka pulang?

Apakah segala retorik politik yang mereka taburkan boleh mengubah wajah Sungai Limau menjadi sebuah kawasan membangun demi kesejahteraan hidup penduduknya atau ia akan menjadi mimpi indah yang tidak kesampaian.

Oleh itu, biarlah siapa pun turun, biarlah sehebat mana pun pemimpin pembangkang yang datang, apa yang penting pengundi Sungai Limau perlu mengkaji siapakah yang lebih layak untuk membela nasib mereka.

Penduduk Sungai Limau bukannya tidak ada pilihan kerana sepanjang kempen pilihan raya kecil itu berlangsung, hampir semua pemimpin utama BN turun padang bertemu mereka.

Pemimpin BN bukannya bijak menabur janji atau mengukir mimpi kepada pengundi tetapi mereka hadir membawa misi untuk memenuhi impian penduduk Sungai Limau yang mahu mengecapi pembangunan.

Oleh itu, jangan terpedaya dengan apa-apa juga pujukan, hasutan dan dakyah pembangkang kerana kesudahannya yang akan rugi ialah penduduk Sungai Limau itu sendiri.

BN sudah membuktikan kemampuan untuk membela nasib penduduk kawasan itu apabila meluluskan pelbagai peruntukan sepanjang kempen berlangsung.

Ia bukanlah satu perbuatan untuk membeli sokongan tetapi memaparkan kemampuan parti itu menjadi sebuah kerajaan yang berupaya mengubah nasib rakyat.

Pembangkang hanya bijak beretorik dengan memutar-belitkan pelbagai fakta demi memburukkan kerajaan BN, tetapi cuba bertanya apakah mereka boleh lakukan untuk membantu penduduk Sungai Limau?

Apakah kedatangan mereka untuk menyelesaikan masalah penduduk di situ atau kehadiran mereka untuk memperalatkan penduduk demi kepentingan memburu kuasa politik mereka.

Oleh itu, berfikirlah dengan matang, janganlah terperangkap dengan mainan politik pembangkang kerana pilihan raya kecil ini bukannya penentu kepada penubuhan sebuah kerajaan tetapi hendak memastikan arus pembangunan melanda sebuah kawasan.

BN di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir bukan seperti pembangkang. Sebaliknya kerajaan BN di bawah teraju beliau di Kedah adalah sebuah kerajaan yang bertanggungjawab.

Mukhriz sudah mengemukakan pelbagai tawaran kepada penduduk Sungai Limau demi masa depan mereka. Oleh itu, sambutlah tawaran itu dengan hati terbuka dengan memberi peluang kepada BN melalui calonnya, Dr. Ahmad Sohaimi Lazim.

Percayalah, Mukhriz dan BN bukanlah seperti pembangkang yang hanya bijak 'menjual' retorik sedangkan kesudahannya, ia tidak membawa apa-apa faedah.

Oleh itu, jangan biarkan Sungai Limau, 'pi mai pi mai tang tu' juga kerana mainan politik pembangkang. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment