Celup jari telunjuk dalam dakwat kekal sebelum mengundi
JERAI, SABTU, 02 November, 2013: Pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau perlu mencelup jari telunjuk kiri ke dalam botol dakwat kekal yang disediakan pada hari mengundi, Isnin ini dan tidak lagi sekadar dicalit oleh pegawai bertugas seperti yang dilakukan dalam pilihan raya umum lalu.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk berkata, prosedur berkenaan telah dijalankan dalam PRK DUN Kuala Besut pada Julai lalu.
Katanya, penggunaan dakwat kekal tersebut merupakan prosedur tambahan pengundian bagi mengelak cubaan mengundi dua kali oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.
"Bagi maksud menggunakan dakwat dalam PRK ini, pengundi yang masuk mengundi akan diperiksa jarinya terlebih dahulu. Selepas dikesan bebas daripada sebarang dakwat, pengundi kemudian akan mencelup jari tenunjuk kirinya ke dalam botol dakwat yang disediakan SPR," katanya di sini hari ini.
Abdul Ghani berkata, sekiranya ada pengundi yang enggan membenarkan jarinya dicelup dalam dakwat, pegawai SPR tidak akan memberikan kertas undi.
Beliau turut menasihatkan pengundi terutamanya warga emas agar tidak terpedaya dengan permintaan sesetengah pihak meminta jari mereka ditanda dengan dakwat sebelum pergi mengundi.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau meminta mereka yang bukan petugas SPR atau pemerhati yang sah agar memasuki barung penyemakan maklumat pengundian SPR.
"Berdasarkan pengalaman daripada pilihan raya lalu, ada penyokong parti dengan sengaja berkumpul di barung SPR. Tindakan itu mengganggu kerja petugas SPR dan pengundi yang datang menyemak," jelasnya.
Tambahnya, dalam PRK DUN Sungai Limau pada Isnin ini, sebanyak 17 pusat mengundi dengan 58 saluran disediakan.
Sebanyak 27,222 pemilih berdaftar layak mengundi dengan 25,323 pengundi atau 93.02 peratus terdiri daripada kaum Melayu manakala Cina (1,842 atau 6.77 peratus) dan India (15 atau 0.06 peratus). - UTUSAN
No comments:
Post a Comment