Ceroboh: Tubuh pasukan bertindak bersama
JERAI, ahad, 03 NovEMBER, 2013: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mencadangkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) supaya mewujudkan satu pasukan bertindak secara bersama dengan kementerian lain bagi mengawal pencerobohan nelayan asing di perairan negara.
Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebagai permulaan Maritim Malaysia yang berada di bawah Jabatan Perdana Menteri boleh bekerjasama dengan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Polis Marin bagi menjalankan rondaan secara bersama di kawasan perairan negara yang sering dicerobohi nelayan asing terutamanya dari Vietnam.
"Di pihak kementerian saya pula, tindakan telah diambil apabila kita membatalkan lesen bot kepada nelayan tempatan yang bersubahat dengan nelayan asing.
"Bagaimanapun untuk bergerak lebih jauh dengan turun mengawal perairan, kementerian tidak boleh lakukannya kerana tidak mempunyai bot dan sebagainya. Ketika ini hanya Maritim Malaysia yang bertindak sebagai pasukan tunggal yang mengawal perairan daripada pencerobohan nelayan asing dan saya difahamkan ada sedikit masalah," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan eksklusif Mingguan Malaysia hari ini mengenai nelayan di Pantai Timur yang menjual bot mereka dan beralih kepada bidang pekerjaan ekoran sering diganggu nelayan asing dan diugut selain hasil tangkapan merosot dengan mendadak.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera berkata, masalah berkenaan harus ditangani segera dan secara bersama bagi memastikan bekalan ikan negara tidak terjejas.
Terdahulu Ismail Sabri menyempurnakan majlis penyerahan insentif kepada 395 orang petani di bawah Lembaga Kemajuan Petani Muda (Mada) berjumlah keseluruhan RM1.4 juta di atas kejayaan mereka menghasilkan jumlah pengeluaran yang ditetapkan kerajaan.
Turut hadir pada majlis itu, Pengerusi MADA, Datuk Othman Aziz dan Pengerusi Penyelaras PPK MADA, Ahmad Raden.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan akan meneruskan bantuan untuk pesawah dengan jumlah peruntukan sebanyak RM2.4 bilion setahun bagi memastikan bekalan beras negara mencukupi.
"Walaupun dengan peruntukan besar itu kerajaan boleh mengimport padi untuk keperluan seluruh negara, namun kerajaan tetap mahu pesawah kita bekerja kerana itu punca pendapatan mereka," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment