PM hadir Rumah Terbuka Deepavali di Johor
KLUANG, AHAD, 03 November, 2013: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka menghadiri sambutan Rumah Terbuka Deepavali Peringkat Kebangsaan di Dataran Bandaraya, Johor Bahru, Sabtu ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pemilihan Johor bagi sambutan peringkat kebangsaan itu merupakan satu pengiktirafan kerajaan Pusat kepada masyarakat India di seluruh negara khususnya di negeri ini.
''Seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dijemput hadir sempena sambutan Rumah Terbuka Deepavali peringkat kebangsaan bermula pukul 8 malam di Dataran Bandaraya, Johor Bahru pada 9 November ini.
''Datuk Seri Najib Tun Razak juga akan menghadiri sambutan besar-besaran itu bersama masyarakat India di sini justeru, saya harap rakyat pelbagai kaum dapat hadir beramai-ramai bagi memeriahkan lagi sambutan ini nanti," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Rumah Terbuka Deepavali Ahli Dewan Undangan Negeri Kahang, R. Vidyananthan di Dewan Bandaran Kejora, Taman Sri Lambak hari ini.
Yang turut hadir Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Mohamad Aziz.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, usaha berterusan akan dijalankan bagi memastikan taraf hidup masyarakat India khususnya di Johor terbela termasuk dalam soal ekonomi dan pendidikan.
''Kita akan terus merangka program serta bantuan sewajarnya bagi meningkatkan lagi kehidupan masyarakat India, malah kerajaan Pusat menerusi Bajet 2014 sudah menggariskan langkah untuk memperkasa masyarakat India secara keseluruhannya.
''Ini membuktikan kerajaan tidak pernah terlepas dalam memberi perhatian kepada mana-mana kaum agar kemakmuran segenap bidang yang dikecapi dapat dikongsi bersama," katanya lagi. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment