My Add

Tuesday, 5 November 2013

 Yang di-Pertuan Agong hadir majlis bacaan Yasin dan doa selamat Maal Hijrah

 *TUANKUAbdul Halim Mu'adzam Shah (tengah) berkenan membaca doa akhir tahun sebelum menunaikan solat maghrib dalam Majlis Tahlil dan Doa Selamat sempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan di Masjid Negara, Kuala Lumpur, malam tadi. - BERNAMA
KUALA LUMPUR, ISNIN, 04 November, 2013: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berangkat ke majlis bacaan Yasin dan doa selamat sempena sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 2013/1435 Hijrah di Masjid Negara, malam ini.

Turut berangkat hadir ialah Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah.

Yang turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha serta beberapa anggota perwakilan asing. Majlis itu, yang dipimpin Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad, dimulakan dengan bacaan doa akhir tahun 1434 Hijrah dan doa awal tahun 1435 Hijrah, sebelum diteruskan dengan solat Maghrib dan diikuti bacaan yasin, tahlil, doa selamat dan solat Isyak berjamaah. Kira-kira 4,000 umat Islam turut menghadiri majlis itu.

Terdahulu, para hadirin mengikuti forum khas Maal Hijrah yang disiar secara langsung menerusi RTM1.

Forum itu dipengerusikan Pengarah Urusan Fitrah Power Sdn Bhd yang juga pendakwah bebas Ahmad Syukri Yusof dan disertai dua anggota panel iaitu Mohamad Zarifi Mohd Daud wakil Jakim dan Azhari Mohd. dari Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem).

Sambutan Maal Hijrah 1435 bertema 'Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah' peringkat kebangsaan akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya esok.

Yang di-Pertuan Agong akan berangkat merasmikan majlis. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment