My Add

Monday, 4 November 2013

Gaji murah, tidak carum KWSP


DUA jenayah rompakan baru-baru ini melibatkan warga asing yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Subang Jaya dan Setapak, telah membuka mata banyak pihak bahawa isu pengawal keselamatan tidak boleh dipandang remeh.
 Namun, siasatan selama seminggu wartawan Utusan Malaysia membuktikan betapa proses pengambilan pengawal keselamatan dilakukan tanpa mengikut prosedur ketat oleh pihak berkenaan.
 Ini terbukti apabila ketiga-tiga temu duga dilalui wartawan untuk bekerja sebagai pengawal keselamatan lulus tanpa banyak kerenah.
Maka tidak hairanlah, industri tersebut mudah didominasi golongan warga asing yang kini menguasai sebanyak kira-kira 53 peratus bagi keseluruhan pengawal keselamatan di negara ini selain 11 peratus lagi bekerja secara haram.
 Ikutilah laporan khas oleh wartawan Utusan Malaysia, TERMIZI CHE ANUAR, AZRAI MOHAMMAD dan MUHAMAD AZRIN MAD HEDER yang mengikuti kehidupan seharian pengawal keselamatan bagi mengupas isu ini dan turut mendedahkan betapa mudahnya menjadi pengawal keselamatan tanpa prosedur yang ketat.

 * TIGA pengawal keselamatan dengan seorang daripadanya lengkap bersenjatakan selaras pump-gun sedang bertugas semasa pengambilan dan penghantaran wang tunai di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR, AHAD, 03 November, 20o13: Sama ada sedar atau tidak, industri kawalan keselamatan negara didominasi oleh warga asing berdaftar yang kini berjumlah 150,000 orang atau kira-kira 53 peratus berbanding rakyat tempatan seramai 100,000 orang.

Jumlah warga asing dianggarkan kira-kira 53 peratus itu bagaimanapun tidak termasuk mereka yang bekerja secara 'haram' iaitu dianggarkan seramai 30,000 orang atau 11 peratus, khususnya di Lembah Klang.

Siasatan Utusan Malaysia mendapati, ramai pengawal keselamatan sama ada di kompleks beli-belah mahupun kediaman kebanyakannya terdiri daripada warga asing.

Lebih mengejutkan ada pengawal keselamatan juga terdiri daripada warganegara Pakistan dan India.

Keadaan itu secara tidak langsung melanggar Akta Agensi Persendirian 1971 yang telah termaktub bahawa hanya warganegara Malaysia dan Nepal yang pernah berkhidmat sebagai tentera serta polis sahaja dibenarkan untuk menjadi pengawal keselamatan.

Perkara itu diakui sendiri Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia (PPKKM) yang turut mendedahkan bahawa sembilan daripada 10 syarikat kawalan keselamatan yang mendapat kontrak menjaga kawasan kediaman khususnya kondominium di Lembah Klang menggunakan khidmat warga asing.

Malah, Presidennya, Datuk Shaheen Mirza Habib memberitahu, terdapat kira-kira 30,000 pengawal keselamatan 'haram' yang sedang berkhidmat di seluruh negara khususnya di kawasan Lembah Klang.

"Ini semua berlaku kerana kos pemberian gaji kepada pengawal keselamatan ini lebih murah, tidak perlu mencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta membayar kerja lebih masa (OT) mendorong banyak syarikat kawalan keselamatan mengambil jalan mudah dengan menggaji pengawal keselamatan warga asing.

"Realitinya begitu. Syarikat kawalan keselamatan yang tidak ikut undang-undang akan untung besar dan mereka yang mematuhi undang-undang pula akan mengalami kerugian," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di pejabatnya di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, penggunaan khidmat pengawal keselamatan 'haram' juga sudah lama berlaku dan pihaknya sendiri memaklumkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN), namun tiada sebarang tindakan tegas diambil.

"Banyak syarikat di bawah naungan PPKKM sendiri yang mengupah warga asing namun kami tidak mempunyai kuasa, sebaliknya KDN yang perlu bertindak lebih tegas kepada syarikat terlibat.

"Saya juga meminta supaya KDN bantu ahli PPKKM yang ikut undang-undang, tolonglah mereka. Cara hendak tolong, cuma hapuskan kumpulan yang mengambil pengawal keselamatan tidak sah ini," ujarnya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment