Pegawai asing boleh ditangkap jika didapati mengintip
JERAI, AHAD, 03 November, 2013: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberikan jaminan akan mengambil tindakan tegas terhadap para perwakilan asing sekiranya dikesan terlibat dalam kegiatan pengintipan maklumat di negara.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya juga tidak akan teragak-agak untuk menangkap para diplomat terbabit memandangkan kegiatan pengintipan maklumat mendatangkan ancaman kepada kedaulatan negara.
"Kira pernah menahan beberapa pegawai asing pada tahun 1980-an kerana terlibat dalam kegiatan pengintipan. Sekiranya ada bukti yang mengatakan wujud perkara itu, saya berjanji akan mengambil tindakan tegas," katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat persiapan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau di sini hari ini.
Yang hadir sama ialah Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim.
Khalid ditanya mengenai dakwaan bekas ejen Agensi Perisikan Pusat Amerika (CIA) Edward Snowden yang mengatakan Amerika Syarikat menggunakan kedutaan Australia, Britain dan Kanada untuk memintas panggilan dan data beberapa negara Asia termasuk China, Indonesia dan Malaysia.
Menurut beliau, PDRM sebelum in banyak terlibat bertukar-tukar maklumat dengan banyak negara berhubung kegiatan jenayah, pengganas, dadah dan penyeludupan.
"Antara negara yang terlibat dalam pertukaran maklumat adalah Amerika Syarikat (AS), Australia, Kanada, negara-negara ASEAN, Mesir, Yemen, China, Jepun dan Korea," katanya.
Bagaimanapun katanya, pertukaran makluman tersebut sekadar bertujuan untuk memerangi kegiatan jenayah merentasi sempadan dan kerjasama kepolisan di peringkat antarabangsa.
"Apa-apa jua maklumat yang melebihi tujuan asas tersebut dianggap tidak wajar kerana ia boleh mengancam kedaulatan negara," tegasnya.
Beliau turut memberikan jaminan bahawa setakat ini, tiada kebocoran membabitkan maklumat rahsia negara kepada pihak asing.
Tambahnya, PDRM juga mempunyai pendekatan tertentu bagi mengekang perkara berkenaan. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment