My Add

Tuesday, 5 November 2013

Hidup di pangsapuri guna lilin, harap ihsan air bersih jiran

 * AINE Abu Bakar membaca rekod perubatan miliknya sambil diterangi cahaya lilin ekoran rumahnya di Pangsapuri Tun Dr. Ismail di Seremban, Negeri Sembilan tiada bekalan elektrik sejak tujuh tahun lalu.
SEREMBAN, ISNIN, 04 November, 2013: Seorang wanita terpaksa mendiami rumah di sebuah rumah pangsa di Jalan Tun Dr. Ismail dekat sini dengan menggunakan lilin pada waktu malam serta meminta ehsan jiran untuk 'menyumbangkan' air bersih untuk minuman sejak bertahun lalu.

Wanita itu, Aine Abu Bakar, 52, berkata, beliau mula menghadapi masalah itu apabila berpindah ke rumah pangsa itu sejak tujuh tahun lalu.

''Tidak beberapa lama selepas menetap di sini, bekalan elektrik dan air bersih dipotong selepas penyewa dahulu tidak membayar bil berkenaan sehingga mencecah RM3,000," katanya di sini hari ini.

Sejak daripada itu, tambahnya, beliau duduk dalam kegelapan dan hanya bertemankan lilin setiap malam.

''Saya tidak dapat menikmati apa juga peralatan yang menggunakan bekalan elektrik, malah saya terpaksa merayu belas ehsan jiran yang sudi memberikan sedikit air bersih untuk saya mandi dan memasak," katanya lagi.

Aine yang belum berkahwin memberitahu, kehidupannya kini semakin sukar kerana menderita penyakit lelah sejak beberapa tahun yang lalu menyebabkan dia tidak mampu lagi untuk bekerja.

Akibat penyakit itu, beliau selalu sakit dan hanya mengharapkan wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM150 sebulan.

''Kalau saya sihat saya akan keluar mencari tin dan besi buruk untuk dijual dan dengan hasil yang tidak seberapa itu saya gunakan untuk membeli makanan atau barangan keperluan harian serta membayar sewa rumah RM40 sebulan.

''Pernah saya tidak dapat mencari rezeki selama seminggu kerana sakit dan hampir beberapa hari tidak menjamah makanan. Nasib baik ada jiran yang prihatin dan memberi saya beras untuk di makan kalau tidak sudah pasti saya sudah mati kebuluran," katanya.

Tambahnya, beliau merayu jika ada pihak membantunya membayar bil elektrik dan air di kediamannya itu supaya kehidupannya lebih selesa.

''Jiran saya sangat prihatin walaupun berlainan bangsa dan agama. Saya sedih kerana terpaksa menyusahkan mereka sedangkan mereka juga bukannya orang senang," jelasnya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment