Jenayah babit pengawal kecil namun berisiko
KUALA LUMPUR, AHAD, 03 November, 2013: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius kes-kes jenayah melibatkan pengawal keselamatan kebelakangan ini kerana jenayah tersebut berisiko untuk ditiru atau menjadi trend ikutan kepada mereka yang lain untuk mendapat keuntungan.
Berdasarkan statistik dikeluarkan PDRM selama sembilan pertama tahun ini, terdapat 31 kes jenayah melibatkan pengawal keselamatan.
Kes-kes berkenaan adalah membabitkan 18 jenayah mencuri, 10 jenayah mencederakan manusia dan tiga jenayah melibatkan bunuh.
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Mazlan Mansor berkata, tidak semua kes jenayah direkodkan itu menunjukkan pihak bertanggungjawab adalah pengawal keselamatan sendiri.
"Tiga kes bunuh yang disiasat mengikut Seksyen 302 dan 307 Kanun Keseksaan membabitkan pengawal keselamatan adalah kerana mereka mempertahankan diri atau mereka sendiri yang menjadi mangsa iaitu terbunuh dalam kejadian itu.
"Mereka terjebak dalam kejadian itu adalah disebabkan tanggungjawab dan tugas mereka. Begitu juga dengan kes seperti tertembak diri sendiri ketika sedang bertugas," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.
Ditanya tentang situasi jenayah melibatkan pengawal keselamatan, Mazlan tidak menafikan kejadian sebegitu berkemungkinan akan berulang kembali.
"Kejadian sebegitu boleh terjadi lagi tetapi PDRM sentiasa melakukan pemantauan rapi dan sedia bekerjasama dengan semua pihak," katanya.
Mazlan berkata, PDRM sentiasa melakukan pemantauan rapi terhadap kesemua senjata api yang digunakan pengawal keselamatan yang bertugas di pelbagai premis seluruh negara.
Katanya, senjata api yang digunakan bertujuan untuk menjaga keselamatan premis perlu didaftarkan di balai-balai setiap daerah.
"Pada setiap Jun, lesen senjata itu api akan diperbaharui dan didaftar semula di balai-balai di kawasan senjata itu akan digunakan. Di situlah pihak polis akan memainkan peranan memantau penggunaannya," katanya.
Ditanya tentang senjata api syarikat keselamatan yang hilang dan kemudian digunakan untuk tujuan jenayah, Mazlan memberitahu, tidak mustahil perkara itu akan terjadi.
Bagaimanapun, katanya, perkara itu hanya akan diketahui polis apabila pihak syarikat keselamatan membuat laporan polis berhubung kehilangan senjata api berkenaan.
"Apabila senjata api hilang, syarikat keselamatan terutama pengawal keselamatan berkenaan harus membuat laporan polis. Kita akan bertindak segera mengesan senjata api itu agar tidak berlaku keadaan yang lebih serius," katanya.
Mengulas tentang pemantauan syarikat keselamatan, Mazlan memberitahu, polis biasanya bertindak berdasarkan laporan yang diberikan Kementerian Dalam Negeri (KDN). - UTUSAN
No comments:
Post a Comment