Pengawal hidup bawah paras kemiskinan
KUALA LUMPUR, AHAD, 03 November, 2013: Rata-rata pengawal keselamatan di Lembah Kelang dikategorikan hidup di bawah paras kemiskinan iaitu menerima purata pendapatan bersih sebanyak RM1,200 sebulan.
Keadaan itu sedikit sebanyak mungkin boleh 'menjelaskan' mengapa punca golongan terbabit mudah terjebak dalam jenayah.
Dalam temu bual bersama 20 pengawal keselamatan tempatan di syarikat kawalan keselamatan kurang dikenali memberitahu, purata pendapatan bersih mereka RM1,200 sebulan dengan tempoh kerja selama 12 jam sehari.
Bagaimanapun, keadaan itu berbeza dengan pengawal keselamatan warganegara Nepal yang menikmati pendapatan RM1,400 sebulan dengan waktu kerja 12 jam sehari.
Pengawal keselamatan, Rahman (bukan nama sebenar) mendakwa, selain tangga gaji yang rendah, mereka tidak mendapat faedah kebajikan setimpal daripada majikan seperti cuti sakit atau elaun pakaian seragam.
Jelasnya, ia menyebabkan tidak ramai rakyat tempatan yang mahu menjadi pengawal keselamatan sebagai profesion melainkan terpaksa.
"Kalau ada pilihan saya tidak mahu bekerja sebagai pengawal keselamatan yang sebenarnya mempunyai kehidupan amat menyedihkan.
"Kami terdedah dengan pelbagai risiko kerja seperti ditembak, dipukul dan sebagainya tetapi gaji masih terlalu rendah sedangkan pemilik syarikat untung jutaan ringgit setiap tahun," katanya.
Turut berkongsi pandangan sama, pengawal di sebuah syarikat keselamatan kecil yang ingin dikenali sebagai Angah yang memberitahu, dia menerima gaji RM550 sebulan selepas dipotong caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), sewa asrama penginapan dan pakaian seragam.
Dia yang berasal dari Pahang berkata, bayaran kerja lebih masa juga kecil disebabkan gaji pokok rendah sehingga sekali sekala terpaksa bekerja 24 jam sehari untuk mendapat pendapatan lebih.
"Kami sendiri pernah mempersoalkan pihak majikan tentang gaji pokok RM700 yang jauh lebih rendah daripada gaji minimum yang ditetapkan kerajaan.
"Tetapi malangnya, jawapan yang diterima cuma syarikat tidak mampu membayar gaji minimum yang ditetapkan kerajaan selain harga kontrak ditawarkan syarikat juga terlalu rendah," ujarnya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment