My Add

Sunday, 3 November 2013

Kaum India terbela di bawah BN

Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED, MOHD. 
AZRAIE MD. YUSOF dan MAISARAH SHEIKH RAHIM
 
 * NAJIB Tun Razak bersama isteri, Rosmah Mansor tertarik melihat corak logo 1Malaysia pada hiasan kolam ketika menghadiri majlis Rumah Terbuka Deepavali Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia di Pusat Konvensyen HGH Sentul, Kuala Lumpur, semalam. Turut serta Muhyiddin Yassin dan isteri, Noorainee Abdul Rahman serta K. K. Eswaran (tiga dari kiri) dan isteri, Puan Sri Vivienne Eswaran. - MINGGUAN/FAUZI BAHARUDIN
KUALA LUMPUR, SABTU, 02 November, 2013: Para pemimpin MIC dan NGO India mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menghargai sumbangan kaum itu kepada negara.

Mereka juga berharap perpaduan antara kaum di negara ini seharusnya berterusan dan subur sepanjang masa dan bukan hanya ditunjukkan dalam sesuatu majlis keraian sahaja.

Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, Perdana Menteri merealisasikan segala aku janji yang diikrar semasa pilihan raya umum lalu terutama dalam aspek pembangunan masyarakat India.

''Menerusi Bajet 2014 pun, masyarakat India tidak dikecualikan dalam aspek memperkasakan ekonomi,'' katanya ketika ditemui sempena Majlis Rumah Terbuka Deepavali MIC 2013 di pekarangan Kuil Batu Caves dekat sini, hari ini.

Yang turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Naib Presiden MIC, Datuk M. Saravanan pula menyelar kenyataan pembangkang yang sering kali menuduh kerajaan meminggirkan masyarakat itu.

''Nak kata masyarakat India dipinggirkan adalah tidak relevan kerana negara ini memberi jaminan pembangunan kepada semua kaum. Perkataan 'pinggir' ini digunakan parti tertentu (pembangkang) untuk kepentingan politik mereka.

''Kepentingan dan hak kaum India di negara ini tidak pernah diabaikan, malah sentiasa mendapat perhatian oleh pihak kerajaan,'' tegasnya.

Pada perkembangan sama, Presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI), Tan Sri K. K. Eswaran berkata, walaupun kaum itu (India) hanya meliputi lapan peratus daripada populasi penduduk di negara ini, tetapi kebajikan mereka turut diutamakan.

Jelas beliau, perkara itu terbukti apabila Perdana Menteri memberikan peruntukan besar dalam pembentangan Bajet 2014 baru-baru ini kepada kaum India demi pembangunan ekonomi dan kehidupan sosial yang lebih baik.

"Perdana Menteri telah mengucapkan terima kasih kepada kaum India kerana menyokong Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum lalu, maka banyak peruntukan telah diberikan seperti latihan kemahiran kepada anak-anak muda, selain pembangunan sekolah Tamil,'' katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment