My Add

Sunday, 3 November 2013

Najib, Muhyiddin hadiri rumah terbuka Deepavali

 * NAJIB Tun Razak diiringi G. Palanivel (tengah) serta para pemimpin MIC tertarik melihat kolam berwarna-warni bersama penari Baratha Natiyan semasa menghadiri rumah terbuka Deepavali MIC di Batu Caves, Selangor, semalam. - MINGGUAN/GHAZALI BASRI
KUALA LUMPUR, SABTU, 02 November, 2013: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang baru pulang dari United Kingdom (UK) sempena lawatan kerja lima hari malam tadi, sempat meluangkan masa menghadiri Majlis Rumah Terbuka Deepavali MIC 2013, pagi ini.

Majlis anjuran MIC yang diadakan di pekarangan Kuil Batu Caves dekat sini, turut dihadiri isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor serta Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Yang turut menyertai sambutan yang dihadiri lebih 10,000 pengunjung itu ialah Presiden MIC yang juga Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G. Palanivel; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Tetamu lain ialah Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang; Duta Khas Infrastruktur ke India dan Asia Selatan, Datuk Seri S. Samy Vellu; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk S. K. Devamany; Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M. Saravanan; Timbalan Menteri Pendidikan II, P. Kamalanathan dan Naib Presiden MCA, Datuk Donald Lim Siang Chai.

Selepas menghadiri majlis di Batu Caves itu, Perdana Menteri berkunjung pula ke Majlis Rumah Terbuka Deepavali anjuran Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI) di Pusat Konvensyen HGH, Sentul di sini.

Najib yang diiringi isteri tiba kira-kira pukul 11.35 pagi bersama Timbalan Perdana Menteri dan isteri serta Presiden MAICCI, Tan Sri K. K. Eswaran dan isteri, Puan Sri Vivienne Eswaran.

Perdana Menteri yang meluangkan masa hampir sejam bersama 5,000 tetamu dalam majlis itu turut memotong kek dan melihat kolam iaitu seni hiasan yang menggunakan beras berwarna-warni.

Sementara itu, Presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel ketika mengulas sambutan Majlis Terbuka MIC itu mahu rakyat menerapkan nilai-nilai perpaduan menerusi pelbagai cabang aktiviti.

Beliau berkata, kehadiran pengunjung daripada pelbagai latar belakang, kaum dan agama mengesahkan lagi bahawa perpaduan rakyat di negara ini masih kukuh.

''Saya gembira melihat perkara ini (perpaduan). Majlis tersebut bukan sahaja meriah dengan kehadiran sebilangan rakyat di negara ini, malah turut dihadiri pelancong asing," ujarnya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment