My Add

Sunday, 3 November 2013

Kehilangan bapa di Tanah Suci Mekah jadi kenangan

 ABDUL Azeez Rahim beramah mesra sambil bertanya khabar kepada sebahagian jemaah haji yang baru tiba dari Tanah Suci Mekah di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang, semalam.
PULAU PINANG, SABTU, 02 November, 2013: Kehilangan bapa tersayang yang meninggal dunia di Tanah Suci Mekah pastinya menjadi kenangan yang tidak dilupakan buat jemaah haji muda, Shukri Ahmad Anuar ketika mengerjakan haji tahun ini.

Shukri, 16, berkata, bapanya Ahmad Anuar Ishak, 67, meninggal dunia akibat jangkitan kuman dalam paru-paru dan serangan jantung dua hari sebelum semua jemaah melakukan wukuf di Arafah.

Menurutnya, dia ke Mekah bertiga bersama bapa dan ibunya, Salmiah Ismail namun ditakdirkan untuk kembali ke tanah air berdua.

"Saya reda kehilangan bapa yang meninggal dunia di tanah suci dan amat merasai kehilangannya sebab masa pergi bertiga tetapi apabila balik, hanya saya dan ibu.

"Apapun saya bersyukur dapat menunaikan haji dengan sempurna dan tak sangka saya dapat menjadi tetamu Allah pada usia muda seperti ini," katanya yang berasal dari Sungai Petani, Kedah dan merupakan anak tunggal kepada pasangan itu.

Shukri merupakan salah seorang daripada 281 jemaah haji yang tiba dengan penerbangan pertama dari Jeddah, Arab Saudi ke Pulau Pinang hari ini. Pada musim haji tahun ini sebanyak 20 jemaah haji Malaysia meninggal dunia di Tanah Suci.

Ketibaan mereka disambut oleh Pengerusi Tabung Haji, Datuk Abdul Azeez Rahim dan Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Datuk Abdul Malik Abul Kassim.

Sementara itu, bagi anggota polis, Mohammad Syukor Harun, 49, keadaan cuaca yang baik di Tanah Suci memudahkan urusan jemaah haji menunaikan rukun Islam kelima tahun ini.

Jelasnya, biarpun kerja-kerja pembesaran Masjidil Haram terus berjalan, keadaan itu tidak menghalang jemaah untuk beribadah.

"Saya berterima kasih dengan Tabung Haji kerana memberi layanan serta menyediakan layanan terbaik untuk keselesaan jemaah sepanjang 46 hari berada di Mekah dan Madinah.

"Saya amat bersyukur dapat menunaikan ibadah haji pada tahun ini dan berdoa agar diberi kesempatan untuk kembali mengunjungi tanah suci pada masa akan datang," ujarnya yang menunaikan haji bersama isteri, Fadzilah Zakaria, 52.

Dalam pada itu, Abdul Azeez berkata, sehingga kini 20 penerbangan daripada 64 penerbangan pulang telah selamat tiba di tanah air yang membawa 7,211 jemaah dan penerbangan terakhir ialah pada 18 November ini.

"Saya juga memesan kepada jemaah haji dan ahli keluarga yang menunggu untuk membawa pulang jemaah agar mengutamakan keselamatan di jalan raya bagi mengelak tragedi seperti yang berlaku di Kuantan beberapa hari lalu berulang.

"Biarlah tangisan kegembiraan yang sambut kita di rumah dan bukannya tangisan kesedihan kerana kaum keluarga atau jemaah terlibat kemalangan," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment