My Add

Sunday, 3 November 2013

Jakim peringkat akhir draf rang undang-undang Hibah

 Othman Mustapha

PULAU PINANG, SABTU, 02 NovEMBER, 2013: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kini di peringkat akhir untuk membentangkan draf Rang Undang-Undang Hibah bagi menyelesaikan masalah pemberian harta sebelum diluluskan di Parlimen.

Ketua Pengarahnya, Datuk Othman Mustapha berkata, rang undang-undang itu penting bagi menegakkan kewibawaan mahkamah dalam pengurusan harta hibah secara lebih teratur dan sempurna.

Menurutnya, Jawatankuasa Teknikal Undang-undang Syarak dan Sivil yang dipengerusikan oleh Tan Sri Sheikh Ghazali Abdul Rahman telah membentangkan draf akta itu kepada penasihat undang-undang negeri, mufti serta ketua hakim syarie setiap negeri bagi mencari titik permasalahan yang diamalkan di setiap negeri.

"Melalui hasil pembentangan itu terdapat beberapa isu berkaitan hibah yang harus diperkemaskan oleh jawatankuasa terlibat sebelum diserahkan kepada Bahagian Gubalan Jabatan Peguam Negara untuk dimuktamadkan dan dibentangkan di Parlimen.

"Saya melihat adanya keseragaman di peringkat negeri dalam isu hibah dan kita mampu menyelesaikan masalah pertikaian pengurusan harta hibah serta mampu dilaksanakan secara lebih teratur di setiap negeri," katanya kepada Utusan Malaysia selepas majlis penutup Persidangan Penyelarasan Undang-undang Syarak dan Sivil Kali ke-23 di sini malam tadi.

Perasmian penutup itu disempurnakan Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Farizan Darus dan turut dihadiri Sheikh Ghazali yang juga Penasihat Syariah Jabatan Peguam Negara.

Pada majlis itu, Farizan turut melancarkan buku Kompilasi Kertas Kerja Persidangan Penyelarasan Undang-undang Syarak dan Sivil yang memuatkan 10 koleksi kertas kerja yang dibentangkan pada persidangan itu sejak 1990-an hingga 2011.

Buku kompilasi itu membincangkan pelbagai topik meliputi undang-undang pentadbiran agama Islam, undang-undang harta, muamalat, keluarga, jenayah, perundangan dan kehakiman syariah serta pendakwaan dan penguatkuasaan undang-undang.

Antara topik yang menarik di dalam buku itu ialah mengenai pertukaran agama yang ditulis oleh Allahyarham Prof. Tan Sri Ahmad Mohamed Ibrahim.

Tambah Othman, buku tersebut juga akan menjadi rujukan kepada pengamal undang-undang syarak dan sivil serta penuntut jurusan undang-undang kerana meliputi pelbagai aspek yang lengkap mengenai isu-isu tertentu.

"Melalui persidangan serta pelancaran buku kompilasi ini diharap pentadbiran undang-undang Islam di negeri-negeri dapat diselaraskan ke arah melahirkan masyarakat yang harmoni dan mematuhi undang-undang," ujarnya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment