Kempen semakin rancak, Sungai Limau semakin sesak
Oleh BORHAN ABU SAMAH
JERAI, SABTU, 02 November, 2013: Tinggal tidak sampai 48 jam tempoh berkempen menyaksikan jentera parti yang bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau semakin rancak.
Hampir 24 jam ada sahaja program sama ada secara besar-besaran seperti ceramah ataupun kecil-kecilan yang bergerak dari rumah ke rumah.
Pada sebelah pagi pasar-pasar hari menjadi sasaran jentera berkempen. Premis-premis seperti sekolah menjadi rebutan.
Bukan sahaja Barisan Nasional (BN) yang mengadakan program di sekolah, tetapi Pas juga tidak mahu mengalah untuk turut menggunakan majlis di premis berkenaan.
Jalan-jalan di sekitar Sungai Limau mulai sesak sejak malam tadi sehingga ke hari ini. Keadaan akan bertambah buruk apabila ceramah-ceramah yang berlangsung di pinggir-pinggir jalan.
Orang ramai yang datang untuk mendengar ceramah meletakkan kenderaan di kiri dan kanan jalan menyebabkan jalan menjadi sesak.
Tambah memburukkan keadaan apabila para peniaga mengambil kesempatan untuk berniaga di pinggir-pinggir jalan.
Inilah peluang yang tidak mahu dilepaskan oleh para peniaga untuk mencari rezeki lumayan.
Jika sejak 21 Oktober lalu, saya dapati kereta yang dipandu di kawasan ini bergerak amat perlahan, tetapi kini keadaan berbeza.
Kehadiran kereta-kereta dari luar yang dipandu laju sedikit sebanyak menganggu kehidupan masyarakat setempat.
Orang-orang tua yang menaiki motosikal kini perlu lebih berhati-hati dengan kereta yang memecut dan memotong cara berbahaya.
Itu belum gelagat konvoi motosikal, kereta dan kenderaan pacuan empat roda yang membawa bendera parti.
Jalan-jalan di Sungai Limau kebanyakannya sempit kerana memberi keutamaan kepada aktiviti sawah padi.
Jadi orang luar yang datang ke kampung ini cubalah menghormati cara hidup masyarakat setempat yang selama ini tenang dan saling menghormati.
Jangan dibawa budaya memandu di kota besar ke kampung ini kerana dikhuatiri akan menyebabkan kemalangan kerana penduduk di sini tidak biasa dengan suasana sedemikian. - UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment