My Add

Saturday, 2 November 2013

Penduduk yakin penghijrahan berlaku di Sungai Limau

Oleh KHAIRULANUAR YAHAYA

JERAI, SABTU, 02 November, 2013: Tinggal 48 jam lagi sejumlah 27,222 orang pemilih Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau akan melaksanakan tanggungjawab untuk memilih Ahli DUN (ADUN) yang baru pada Isnin ini.

Tinjauan Utusan Online di sekitar pasar pagi Simpang Tiga Sungai Limau di sini mendapati rata-rata pemilih telahpun membuat keputusan calon yang bakal mereka pilih pada Pilihan Raya Kecil (PRK) nanti.

Peniaga pasar pagi, Zulkefli Sharif, 56, berkata, beliau sejak dahulu sememangnya memilih Barisan Nasional (BN).

"Saya sudah buat keputusan. Dalam hati saya tetap BN (Barisan Nasional) sebab saya memang dari dulu sokong sebab BN bawa banyak pembangunan.

"Sebenarnya banyak lagi kemudahan diperlukan di sini macam kemudahan bank memang tak ada di Sungai Limau.

"Kalau penduduk memerlukan perkhidmatan bank mereka terpaksa pergi ke Alor Setar atau Sungai Petani. Penduduk juga mahu agar jalan-jalan dibaiki kerana banyak lubang," kata Zulkefli.

Pendapat yang sama disuarakan oleh peniaga, Rosli Ulung, 63.

Beliau telah menetapkan pilihan untuk mengundi BN yang dilihat mampu memberi manfaat kepada semua penduduk di DUN Sungai Limau.

"Saya akan undi BN. Setakat perkembangan yang saya tengok alhamdulillah, saya rasa BN mampu mengatasi lawan. BN banyak membantu secara keseluruhan ini termasuk golongan peladang, nelayan dan pekerja-pekerja biasa.

"Sebelum ni memang tidak ada apa-apa (pembangunan) daripada kerajaan terdahulu, memang tak bagi apa. Sekarang ni banyak perubahan di bawah pentadbiran BN yang menguasai kerajaan negeri," kata Rosli.

Tambah beliau lagi, faktor calon BN, Dr. Ahmad Sohaimi Lazim yang merupakan bekas pensyarah kanan universiti awam juga dilihat akan menyumbang kepada corak pilihan pengundi di sini nanti.

"Sohaimi dia sebagai pensyarah orang yang kita kata sebagai pandai jugalah. Dia tahu keadaan penduduk di sini. Kalau dia dipilih sekurang-kurangnya dia bagi ruang kepada peniaga-peniaga dan penduduk di sini," kata Rosli.

Sementara itu, seorang penyokong Pas, Baharom Ahmad, 84 , berterus terang menyatakan beliau akan 'memangkah' BN kali ini.

"Yang biasa (saya pilih ialah) Pas, tapi la ni tengok belah tu (BN) bagus, beza. Saya yakin BN boleh menang, saya tengok dia pulun, saya meniaga tepi jalan boleh tengok (gerak kerja BN).

"Orang sini mahukan perubahan kerana di sini hanya ada kerja bendang sahaja, tak ada lain. Insya-Allah saya akan pilih Sohaimi, kali ini akan berubah," kata Baharom.

Kata beliau, keputusannya memilih BN kali ini turut dipengaruhi faktor pengangguran dalam kalangan anak-anak muda lepasan sekolah.

"Saya harap lebih banyak peluang pekerjaan di buka senang untuk anak cucu. Budak-budak tak ada kerja lepas habis sekolah. Pas dahulu tak peduli apa," kata Baharom dengan kesal.

Visual temu bual boleh ditonton di Utusan Online di http:\www.utusan.com.my - UTUSAN ONLINE 

No comments:

Post a Comment