Laporan media propembangkang tidak berpandukan fakta
KUALA LUMPUR, ISNIN, 04 November, 2013: Media propembangkang iaitu The Malaysian Insider dan Malaysiakini dalam banyak perkara membuat laporan tidak bersandarkan fakta sebaliknya gemar bermain sentimen semata-mata demi menimbulkan kebencian kepada kerajaan.
Pensyarah Bahagian Komunikasi Pemujukan, Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Mohamad Md. Yusoff berkata, portal berkenaan sepatutnya bersikap bertanggungjawab dengan memahami struktur sesuatu isu yang dibangkitkan terlebih dahulu.
Katanya, Malaysian Insider dan Malaysiakini tidak boleh secara sembrono memainkan sentimen psikologi atau emosi hanya kerana perbezaan ideologi politik.
Mengambil contoh bagaimana cadangannya agar Dasar Pengiklanan Negara (DPN) diwujudkan bagi merasionalkan industri iklan telah dipolitikkan secara negatif, Mohamad berkata, sepatutnya portal berkenaan memahami terlebih dahulu maksud struktur isu yang dibangkitkannya.
"Kalaupun nak bermain perang saraf, biarlah secara matang. Jangan melaporkan sesuatu secara emosi tanpa memahami terlebih dahulu struktur isu. Contohilah operasi media di negara maju. Media mereka juga kritikal menegur tetapi dibuat berlandaskan fakta.
"Saya melihat portal propembangkang itu tidak matang. Hanya kerana cadangan DPN disiarkan Utusan Malaysia, mereka terlebih emosi walaupun apa yang diperkatakan itu benar dan perlukan tindakan segera kerajaan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas pelbagai tuduhan liar Malaysian Insider terhadap Utusan Malaysia khususnya selepas akhbar berpengaruh ini mendedahkan syarikat milik kerajaan (GLC) seperti sudah hilang jati diri apabila tidak lagi mengutamakan iklan kepada akhbar berbahasa Melayu.
Berdasarkan kajian terbaharu AmResearch, perbelanjaan pengiklanan (Adex) untuk akhbar berbahasa Melayu merosot 1.8 peratus manakala RHB Research pula mendedahkan bagi September tahun ini sahaja Adex akhbar berbahasa Melayu jatuh 26 peratus.
Sebelum ini, Mohamad sendiri mencadangkan kepada kerajaan agar menetapkan satu garis panduan khusus melalui DPN iaitu dengan mewajibkan 60 peratus iklan semua syarikat GLC diberikan kepada akhbar berbahasa Melayu.
Dalam pada itu, Mohamad berkata, tiada apa yang pelik jika portal propembangkang berterusan melemparkan pelbagai tuduhan liar terhadap Utusan Malaysia kerana objektifnya mudah difahami iaitu mahu menutup institusi suara Melayu ini yang mempertahan Perlembagaan Persekutuan.
"Jika Utusan Malaysia dapat dikuburkan, tiadalah lagi pihak yang berani mempertahan Perlembagaan, jadi mudah untuk mereka menjayakan agenda tertentu namun biarlah kebebasan media itu berlandaskan fakta dan bukan bertunjangkan emosi," ujarnya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment