Malaysia capai semua matlamat MDG sebelum 2015 - PM
KUALA LUMPUR, ISNIN, 04 November, 2013: Malaysia menjadi antara negara yang berjaya dalam kalangan 189 negara anggota Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mencapai kesemua lapan sasaran dalam Matlamat Pembangunan Milenium (MDG) ditetapkan 13 tahun lepas semasa milenia baharu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kesemua sasaran MDG itu perlu dicapai sebelum 2015.
Beliau berkata, Malaysia telah melakukannya dengan begitu baik dan beliau masih percaya agenda pembangunan di bawah MDG memerlukan komitmen berterusan.
"MDG tidak mencapai sasaran untuk mengintegrasikan pembangunan lestari dalam aspek ekonomi, sosial dan alam sekitar seperti yang dibayangkan dalam Deklarasi Milenium.
"Keperluan untuk menyeimbangkan pembangunan dan perlindungan alam sekitar tidak disepadukan dengan sewajarnya," katanya dalam ucaptama pada Forum mengenai Kepelbagaian Biologi dan Pembangunan Pasca 2015 anjuran Kumpulan Industri Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) mulai hari ini hingga 6 November.
MDG mengandungi lapan matlamat pembangunan global bagi menghapuskan kemiskinan tegar, kelaparan, penyakit dan bagi mencapai pendidikan awal sejagat, menggalakkan kesaksamaan gender, mengurangkan kadar kematian kanak-kanak, memastikan kelestarian alam sekitar dan membangunkan perkongsian global bagi pembangunan.
Najib berkata, Malaysia akan terus menambah baik MDG dan bersedia untuk mencapai matlamat baharu bagi pasca 2015 yang ditetapkan PBB pada 2012 - Matlamat Pembangunan Lestari (SDG).
Sejak tiga dekad lepas, ekonomi Malaysia meningkat lebih daripada 100 kali ganda mengikut ukuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan purata pertumbuhan hampir 7 peratus setahun.
Kadar kemiskinan menurun daripada 49 peratus kepada kurang daripada 4 peratus, KDNK per kapita juga meningkat daripada AS$370 kepada lebih daripada AS$9,000 hari ini, katanya.
"Kebimbangan utama saya sebagai Perdana Menteri masih untuk mengekalkan apa juga yang kita lakukan, kita tetap memberi keutamaan kepada kepentingan rakyat.
Kerajaan komited untuk melahirkan peluang pekerjaan, usaha untuk membawa pembangunan yang lestari dan untuk memastikan kesejahteraan hidup rakyat," katanya.
Najib juga menarik perhatian berhubung perbezaan geopolitik utama yang berkembang sejak dekad kebelakangan ini membabitkan kesalinghubungan global yang jauh lebih besar dan meningkatkan lagi peluang dan risiko.
Beliau juga menarik perhatian khususnya berhubung risiko yang ditimbulkan oleh perubahan iklim.
"Bukti mengenai meningkatnya pemanasan global, batasan penyelesaian segera bagi melindungi perubahan iklim dan kepelbagaian, keperluan untuk memastikan dalam menerima penyelesaian mendedahkan kita kepada satu persoalan penting di hadapan kita.
"Saya juga gembira untuk menyatakan bahawa semasa Sidang Kemuncak Bumi di Rio 20 tahun lepas, kita berjanji kepada dunia untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus negara kita diliputi hutan dan pokok selama-lamanya. Hari ini kawasan hutan kita adalah pada 74 peratus dan 56.4 peratus daratan kita adalah hutan - satu isyarat kuat kepada dunia bagaimana Malaysia mengotakan janji," katanya.
Di Malaysia, kerajaan dan sektor swasta mencari jalan untuk mencapai objektif berkembar bagi melindungi alam sekitar dan pembangunan dengan menyedari bahawa ia adalah satu keseimbangan yang sukar untuk dicapai.
"Tambahan pula, jika kita lihat di seluruh dunia, banyak negara berpendapatan tinggi memperoleh kemakmuran dengan mengorbankan alam sekitar, bukan bersama-sama dengannya.
Bagaimanapun, kita mengambil pengajaran dari pengalaman orang lain dan kita perlu mencapai keseimbangan antara pembangunan dan pemuliharaan alam sekitar," katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment