Polis Sarawak rampas senjata berbahaya, tahan 9 suspek
KUCHING, isnin, 04 NovEMBER, 2013: Polis Sarawak merampas beberapa senjata berbahaya termasuk senapang patah dan padang semurai, berikutan penahanan sembilan suspek di dua ladang sawit iaitu di Batu Niah, Miri dan Balai Ringin, Serian, kata Timbalan Pesuruhjaya Polis Negeri, Datuk Law Hong Soon.
Beliau berkata, dalam operasi pada Jumaat lepas, polis menemui selaras senapang patah berserta lima butir peluru, sebilah bilah pedang semurai dan dua bilah parang berukuran 52 sentimeter panjang dalam sebuah kenderaan yang diperiksa di sebuah ladang sawit di kawasan Batu Niah.
"Bagi kes ini pihak kami (polis) bersama-sama dengan agensi yang lain menjalankan operasi bersepadu dalam menangani masalah berkaitan dengan laporan kecurian buah kelapa sawit yang banyak kita terima daripada syarikat dan pemilik ladang," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di sini hari ini.
Beliau berkata, pemandu kenderaan itu lelaki berumur 31 tahun, tiga penumpang lelaki berumur antara 21 hingga 48 tahun dan seorang penumpang wanita berumur 45 ditahan untuk siasatan kerana memiliki atau membawa senjata dan peluru tanpa permit.
Katanya, dalam satu lagi pemeriksaan di kawasan sama, polis merampas dua bilah parang dan sebilah pedang samurai dalam sebuah kenderaan yang dipandu oleh seorang lelaki berumur 36 dan pemandu itu serta dua penumpang remaja lelaki berumur 15 dan 17 tahun ditahan untuk siasatan.
Law berkata, pada Sabtu pula, pasukan dari Ibu Pejabat Polis Daerah Serian berjaya menemui selaras senapang patah buatan sendiri dan 12 peluru buatan sendiri yang disimpan di bawah lantai papan lapis sebuah pondok zink dalam kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Ensebang Plaiee, Balai Ringin.
Katanya, pondok itu disyaki didiami oleh seorang warga Indonesia.
Hasil pemeriksaan, katanya polis menahan seorang lelaki berumur 30 tahun, dari Garu, Melikin Batang Air, Indonesia kerana menyimpan senjata berbahaya dan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.
Mengenai Ops Cantas Khas, Law berkata, pasukan polis bahagian narkotik berjaya merampas dua pistol jenis revolver buatan sendiri, lima butir peluru, satu botol plastik mengandungi 23 biji pil disyaki ecstasy pada Sabtu lepas.
Ia dirampas daripada dua lelaki berumur 32 dan 38 tahun yang didapati merupakan penagih dadah dalam serbuan di Chong Lin Park, Jalan Tabuan di sini, katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment