My Add

Sunday, 3 November 2013

Mukhriz, Khairy kempen bersama

 * MUKHRIZ Mahathir bersama Khairy Jamaluddin ketika berkempen dalam Pilihan Raya Kecil DUN Sungai Limau sempena Majlis Santai BBQ Anak Muda anjuran Pergerakan Puteri UMNO di Jeti Nelayan Kuala Dulang, Jerai, Kedah, kelmarin. - MINGGUAN/NOORADZRENE MOHD. NOOR
JERAI, SABTU, 02 November, 2013: Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir dan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berganding bahu turun berkempen bersama-sama bagi memastikan kemenangan calon Barisan Nasional (BN) Dr.Ahmad Sohaimi Lazim dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau, Isnin ini.

Kedua-dua pemimpin muda itu hadir bersama-sama dalam Majlis Santai BBQ Anak Muda anjuran Pergerakan Puteri UMNO di Jeti Nelayan Kuala Dulang, di sini, semalam.

Hari ini pula, Mukhriz dan Khairy menghadiri Himpunan Berani Berhijrah anjuran Pemuda Barisan Nasional (BN) di Sekolah Menengah Dulang, Yan.

Ketika berucap pada Majlis Santai BBQ Anak Muda tersebut, Mukhriz mengucapkan terima kasih kepada jentera Pemuda UMNO diketuai oleh Khairy kerana turun berkempen membantu beliau dan BN Kedah dalam pilihan raya kecil itu.

Mukhriz berharap, pengundi-pengundi akan memberi peluang kepada BN menguasai kerusi DUN Sungai Limau bagi membolehkan usaha-usaha membangunkan kawasan itu dapat dilaksanakan dengan lancar.

"Pilihlah BN kerana saya juga akan menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) angkat kepada kawasan ini, saya sendiri akan memastikan segala perancangan membangunkan Sungai Limau berjalan lancar demi kesejahteraan hidup penduduk," katanya.

Menteri Besar Kedah itu juga berkata, beliau akan meneruskan pendekatan politik damai yang dibawa oleh Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak yang ternyata mampu menyatukan umat Islam dan orang Melayu di kawasan itu.

Sementara itu, berucap di majlis yang sama, Khairy menyeru pengundi-pengundi Sungai Limau supaya membantu Mukhriz membantu membangunkan kawasan itu dengan memastikan kemenangan Ahmad Sohaimi dalam pilihan raya kecil tersebut.

"Saya yakin Mukhriz mempunyai kemampuan untuk membangunkan kawasan ini, oleh itu berilah peluang kepada BN berbakti kepada penduduk di sini dengan mengundi Dr. Ahmad Sohaimi," katanya.

Khairy berkata, tawaran Mukhriz untuk menjadi ADUN angkat kepada DUN Sungai Limau menunjukkan betapa seriusnya Menteri Besar Kedah itu hendak membangunkan kawasan tersebut. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment