My Add

Monday, 4 November 2013

Mukhriz sudah mampu berdikari - Dr. Mahathir

* DR.. Mahathir Mohamad berucap kepada orang ramai yang menghadiri Karnival Rakyat di Bukit Besar Sungai Limau, Jerai, Kedah, semalam.
JERAI, AHAD, 03 November, 2013: Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, anaknya, Datuk Mukhriz tidak memerlukan bantuan beliau untuk bergerak dalam politik kerana Menteri Besar Kedah itu berupaya berdikari.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, jika mahu membantu Mukhriz, beliau boleh berbuat demikian semasa dalam kedudukan cukup kuat iaitu sewaktu menjadi Perdana Menteri.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak membenarkan Mukhriz bertanding atau bergerak dalam politik semasa masih memegang jawatan pemimpin nombor satu negara itu.

"Apabila meletak jawatan dan tidak lagi menjadi Perdana Menteri, saya sudah 'lumpuh'. Masa ini saya hendak tolong dia pun tak boleh kerana saya lemah.

''Jadi hendak tak hendak pun berdiri atas kaki dia sendirilah. Setakat ini dia nampak masih boleh berdiri," katanya kepada pemberita pada Karnival Rakyat di Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Bukit Besar di sini hari ini.

Beliau ditanya mengenai dakwaan pembangkang kononnya Mukhriz belum dapat berdiri atas kaki sendiri dan terpaksa dibantu bapa sendiri termasuk dalam pemilihan UMNO baru-baru ini dan dalam pilihan raya.

Dr. Mahathir berkata, meskipun kurang sihat, kehadirannya di Sungai Limau pada hari terakhir kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu adalah kerana beliau sayang kepada Kedah dan negara.

"Kalaupun saya sakit, saya akan berusaha sedaya upaya setakat diizinkan Allah SWT untuk memperbetulkan keadaan. Itulah sebabnya saya hadir hari ini," ujar beliau.

Dalam pada itu, beliau menempelak Penasihat Parti Keadlilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang seolah-olah tidak pernah mahu bersyukur dengan jasa UMNO apabila menuduh parti itu yang menyebabkan orang Melayu menjadi miskin.

Beliau berkata, Anwar tidak boleh lupa jasa UMNO dan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang memberinya peluang untuk mendapat pelajaran.

"Tapi dia tikam balik, tidak bersyukur. Orang Melayu kena selalu terhutang budi, tetapi dia tidak pernah terhutang budi. Masa dia dalam kerajaan semuanya baik, dulu dia pun tak beritahu saya disebabkan UMNO rakyat miskin. Cakap bukan main dulu, sekarang bila tidak jadi Timbalan Perdana Menteri, semuanya tak baik," katanya.

Dr. Mahathir mendakwa, Anwar memasuki UMNO bukan kerana mahu berjuang untuk parti itu tetapi demi kepentingan sendiri dan jawatan.

Sementara itu, mengenai tindakan pihak tertentu menggantung patung yang dipotong separuh kaki sehingga paras betis dan tertulis perkataan 'Ini kaki Ustaz Azizan' dalam kempen PRK ini, beliau berkata, ia amat tidak patut dilakukan. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment