Pesanan Mukhriz kepada pengundi Sungai Limau
JERAI, SAB TU, 02 November, 2013: Pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau dinasihatkan supaya mengikut suara hati mereka tanpa dipengaruhi oleh emosi negatif yang ditimbulkan pihak tidak bertanggungjawab terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika mengundi pada pilihan raya kecil kawasan itu, Isnin ini.
Menteri Besar, Datuk Mukhriz Tun Mahathir berkata, pengundi tidak seharusnya terpengaruh dengan dakyah tidak berasas yang dilontarkan tanpa sebarang bukti dengan mengatakan pelbagai perkara negatif terhadap kerajaan BN.
Sebaliknya, kata beliau, berilah peluang kepada parti itu yang mempunyai rekod cemerlang mentadbir negara dan negeri untuk berkhidmat di DUN Sungai Limau.
"Ikutlah suara hati tanpa dipengaruhi oleh emosi negatif kerana ada pihak tidak bertanggungawab sengaja menimbulkan rasa benci terhadap kerajaan.
"Saya mendoakan agar terbuka hati pengundi Sungai Limau memberi peluang kepada BN untuk wakilnya memegang jawatan wakil rakyat DUN Sungai Limau," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian elaun sara hidup nelayan secara tunai dan bantuan khas nelayan di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Limau, di sini hari ini.
Terdahulu, ketika berucap dalam majlis berkenaan, Mukhriz memberi jaminan akan berusaha sedaya upaya untuk memberikan yang terbaik kepada rakyat di negeri ini termasuk di Sungai Limau selaku Menteri Besar.
Katanya, beliau baru menerajui pentadbiran kerajaan Kedah selama lima bulan dan memerlukan masa untuk melakukan perubahan kerana tidak mahu tergesa-gesa bagi memastikan setiap keputusan adalah demi kesejahteraan serta bermanfaat untuk rakyat.
"Saya ini bukan jenis orang yang gelojoh. Ambil masa sedikit untuk faham apakah isu, apakah pendekatan terbaik untuk menyelesaikan isu yang berpanjangan supaya tidak payah tukar lagi selepas itu.
"Jadi jangan hendak dibandingkan tempoh lima bulan pentadbiran dengan lima tahun yang jauh lebih pendek masanya," ujar beliau.
Menteri Besar juga sekali lagi mengulangi komitmennya untuk memberi tumpuan kepada DUN Sungai Limau jika ditakdirkan Allah dengan sokongan para pengundi di situ untuk memilih wakil rakyat daripada BN iaitu Dr. Ahmad Sohaimi Lazim.
Kata beliau, penduduk Sungai Limau jangan melihat kepada Ahmad Sohaimi sahaja kerana di belakang calon BN itu ialah seorang Menteri Besar iaitu beliau sendiri untuk menjaga kepentingan kawasan berkenaan.
"Kalau hendak kekal, kekallah dengan orang yang memegang kuasa. Dahulu wakil rakyat di sini ialah seorang Menteri Besar yang bermakna penduduk selesa dan serasi mempunyai seorang wakil rakyat yang juga Menteri Besar.
"Jadi kalau hendak kekal, beri peluang kepadan BN kerana Menteri Besar ini yang akan menjaga kepentingan tuan puan kali ini," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment