My Add

Sunday, 3 November 2013

Pembangkang terdesak, putar belit isu

JERAI, SABTU, 02 November, 2013: Pakatan pembangkang yang terdesak untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau dalam pilihan raya kecil kawasan itu kini memutarbelitkan pelbagai isu untuk meraih sokongan pengundi.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, dalam kempen pembangkang khususnya Pas, mereka memberi maklumat tidak tepat berkenaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) kepada pengundi di situ.

"Mereka dalam ceramah mengatakan GST yang akan dilaksanakan pada 2015 membebankan rakyat termasuklah orang kampung.

"Pada hakikatnya mereka tidak mengkaji dan memahami butiran serta kaedah pelaksanaan GST terlebih dahulu sebelum berceramah," katanya dalam program Bicara Santai bersama anak muda di Kampung Sungai Dedap, di sini malam tadi.

Yang turut hadir, Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Dr. Fathul Bari Jaya dan penyanyi Adam Akademi Fantasi bersama kira-kira 200 orang anak muda kawasan berkenaan.

Mengulas mengenai GST, Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, ia hanya membabitkan golongan yang melakukan perbelanjaan tinggi.

Sementara itu, Khairy berkata, kerajaan juga tidak pernah berjanji untuk memberikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak RM1500 sekali gus sebaliknya secara berperingkat dan bergantung kepada pendapatan isi rumah.

Fathul Bari pula berkata, slogan Barisan Nasional (BN) 'Berani Berhijrah' yang diperkenalkan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Limau harus diterima kerana ia mengandungi sentuhan Islam. "Kita mengajak berhijrah ke arah kebaikan dan mahu meninggalkan sisi permusuhan sesama Islam sehingga berlaku pecah-belah.

"Saya difahamkan, ketika Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu mengadakan lawatan ke Bukit Choras baru-baru, tersebar khidmat pesanan ringkas (SMS) yang berbaur ugutan sedangkan kerajaan bersikap terbuka malah jika mereka hendak berceramah hingga jalan sesak pun tiada larangan. "Adakah ugutan begitu selari dengan tuntuan Islam? Atas sebab itu kita anjurkan konsep berhijrah ke arah kebaikan," katanya.

Sementara itu, Adam ketika berkongsi pendangannya pula berkata, kerajaan BN telah terbukti berjaya menjalankan amanah yang diberikan rakyat dengan baik.

"Saya sebagai generasi muda memang memilih BN kerana rekod yang baik. Pada masa sama,semua golongan mendapat peluang," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment