My Add

Sunday, 10 November 2013

Pukat tunda: Nekmat mahu kerajaan tegas

KUANTAN, SABTU, 09 November, 2013:- Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) menyokong penuh tindakan kerajaan menguatkuasakan peraturan penggunaan saiz mata keroncong pukat tunda berukuran 38 milimeter (mm) bermula 1 November lalu.

Pengerusinya, Mohamad Dolmat berkata, penguatkuasaan peraturan tersebut sememangnya amat dinanti-nantikan golongan nelayan terutama nelayan pantai demi melindungi dan memelihara sumber perikanan pada masa akan datang.

"Selain melindungi kepentingan majoriti nelayan, penguatkuasaan tersebut dapat menjamin sumber perikanan, sekali gus memberi keuntungan lumayan pada masa akan datang.

"Justeru, saya mewakili para nelayan menyokong penuh tindakan penguatkuasaan tersebut," katanya ketika berucap mewakili peladang, penternak dan nelayan dalam majlis perasmian Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2013 di sini hari ini.

Beliau kemudian menyerahkan memorandum sokongan tersebut kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sambil disaksikan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut Mohamad, Nekmat menggesa kerajaan agar tidak sesekali tunduk kepada tuntutan sebilangan kecil nelayan kerana kepentingan atau keutamaan majoriti golongan ini harus didahulukan.

"Kerajaan jangan sesekali tunduk kepada desakan nelayan tertentu yang membantah penggunaan saiz mata keroncong pukat tunda melebihi 38 mm itu," tegasnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment