My Add

Sunday, 10 November 2013

PPPM bertaraf antarabangsa

 * MUHYIDDIN Yassin bersama Ketua Pengarah Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan UNESCO, Irina Bokova (depan dua dari kiri) diberi penerangan oleh Pengurus Unit Prestasi dan Penyampaian Pendidikan (PADU), Isham Ishak mengenai Blueprint Pendidikan Malaysia 2013-2025 dalam lawatan ke galeri UNESCO di Paris, semalam.
PARIS, SABTU, 09 November, 2013: Pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 mampu meletakkan Malaysia dalam kelompok tiga negara terbaik dari segi pencapaian pendidikan berdasarkan penilaian di peringkat antarabangsa.

T,imbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini kerana PPPM menyediakan pendidikan berkualiti mengikut acuan Malaysia berlandaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan dalam masa sama menepati standard sistem penilaian seperti Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS) serta Program Penilaian Murid Antarabangsa (PISA).

“Kita mahu semua kanak-kanak mendapat pendidikan berkualiti, namun mengikut acuan Malaysia. Ini bermakna berada dalam tiga negara terbaik dari segi pencapaian pendidikan peringkat antarabangsa.

“Walau bagaimanapun, kita sedar untuk mengatasi negara lain dalam aspek ini banyak cabaran perlu dihadapi terutama dari segi mencapai standard dan tanda aras yang ditetapkan," katanya berucap pada Pameran PPPM sempena Persidangan Agung Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) Ke-37, di sini semalam.

Yang turut hadir pada pameran yang diadakan di ibu pejabat pertubuhan itu ialah Ketua Pengarah UNESCO, Irina Bokova dan Duta Besar Malaysia ke Perancis, Tan Sri Ismail Omar.

Irina turut diberi penerangan mengenai PPPM 2013-2025 oleh Muhyiddin dan dibawa melawat pameran yang diadakan bertujuan memperkenal pelan pendidikan itu kepada negara-negara anggota UNESCO.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan memberitahu, Malaysia telah mencapai banyak kejayaan dalam meningkatkan sistem pendidikan menerusi usaha berterusan sejak negara mencapai kemerdekaan pada 1957.

Ketika itu katanya, hanya tujuh peratus rakyat mendapat sekurang-kurangnya pendidikan peringkat menengah berbanding 76 peratus sekarang iaitu satu pencapaian yang dianggap membanggakan dalam tempoh singkat.

“Malaysia juga telah mencapai kadar kemasukan ke sekolah rendah dan menengah rendah masing-masing 96 peratus dan 91 peratus. Pencapaian ini berikutan langkah berterusan kerajaan memperuntukkan sejumlah besar iaitu 16 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk pendidikan," katanya.

Menurut Muhyiddin sasaran kita kini adalah untuk mencapai kadar 100 peratus kadar kemasukan dari peringkat prasekolah sehingga menengah atas.

“Kita mahu mencapai kesaksamaan dalam sistem persekolahan dan memberi pendidikan terbaik kepada setiap kanak-kanak tanpa mengira kedudukan geografi, jantina atau latar belakang sosial," jelasnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment