My Add

Saturday, 2 November 2013

Salah guna lesen bot tempatan

 * ANGGOTA Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga (3) PDRM memeriksa salah sebuah bot nelayan yang menggunakan pekerja dari Vietnam di Tok Bali, Kelantan, baru-baru ini.
LAPORAN eksklusif Utusan Malaysia mengenai keluhan nelayan tempatan mangsa pencerobohan nelayan asing sehingga membawa kepada penangkapan beberapa individu yang memberi rasuah kepada penguat kuasa tempatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini memberi kesan positif apabila aktiviti haram itu sudah berkurangan.
 Selepas membongkar isu tersebut, wartawan Utusan Malaysia, ANGELINA SINYANG dan jurugambar ABD. RAZAK AID membuat tinjauan di perairan Pahang, Terengganu dan Kelantan yang merupakan antara lokasi tumpuan nelayan asing terutama Vietnam menceroboh untuk menangkap ikan.
Tinjauan selama tiga hari pada waktu siang dan malam bermula dari Sungai Kuantan, Pahang menuju ke perairan terletak lima batu nautika dari Pulau Tenggol, Pulau Kapas, Sungai Terengganu di Terengganu dan seterusnya sampai ke Tok Bali, Kelantan tidak menemui bot nelayan asing menceroboh perairan negara.
 Beberapa nelayan yang ditemui memaklumkan aktiviti pencerobohan nelayan asing di perairan negara yang serius berlaku sejak tiga tahun lalu, sudah berkurangan setelah pendedahan isu tersebut dibuat oleh Utusan Malaysia sehingga tertangkapnya beberapa individu yang memberi rasuah kepada anggota penguat kuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) pada awal Oktober ini.
Semua nelayan yang ditemui bagaimanapun melahirkan kebimbangan aktiviti haram itu kembali aktif selepas isu pencerobohan ini reda.

KUANTAN, JUMAAT, 01 November, 2013: Tangkapan beberapa individu yang merasuah anggota penguat kuasa tidak mampu menyelesaikan masalah nelayan di negara ini jika masih ramai pengusaha bot nelayan tempatan menyalahgunakan lesen dimiliki dengan memajaknya kepada nelayan asing.

Nelayan turut mendakwa lesen atau permit laut dalam yang dikeluarkan oleh Jabatan Perikanan dimonopoli oleh golongan kenamaan (VVIP) dan individu berpengaruh menyebabkan nelayan asing yang menyewa bot daripada mereka ‘kebal’ daripada dikenakan tindakan.

Amalan menyalahgunakan lesen itu memberi keuntungan lumayan kepada pemilik lesen bot tempatan kerana mereka mampu memperoleh pendapatan mencecah RM50,000 sebulan apabila nelayan asing membayar RM5,000 bagi setiap bot yang dipajak tanpa perlu mereka menyediakan bot, menggaji pekerja dan bersusah-payah turun menangkap ikan ke laut.

Lesen itu juga membolehkan nelayan asing bebas menangkap ikan dan lain-lain hasil laut di perairan negara ini kerana pihak berkuasa tidak boleh mengambil tindakan terhadap mereka ekoran bot digunakan adalah bot tempatan yang memiliki lesen yang sah.

Difahamkan, pihak berkuasa hanya boleh mengambil tindakan terhadap nelayan asing jika mereka menangkap ikan menggunakan pukat ganding yang diharamkan iaitu pukat yang ditarik secara bergandingan menggunakan dua atau tiga bot.

Namun, amat sukar mahu menangkap nelayan asing melakukan kesalahan tersebut kerana didakwa ada ‘tali barut’ dalam agensi penguat kuasa yang membocorkan maklumat apabila serbuan dilakukan setelah diberi rasuah.

Perbuatan nelayan asing menangkap ikan menggunakan pukat ganding yang mempunyai mata gergaji besi dan tali fiber yang boleh mengaut semua hasil di dasar laut sehingga bersih termasuk karang dan ikan kecil menyebabkan pendapatan nelayan tempatan merosot 50 peratus berbanding tiga tahun lalu kerana hasil laut semakin pupus.

Bukan itu sahaja, nelayan tempatan juga menanggung kerugian besar kerana peralatan menangkap ikan seperti bubu dan unjang bernilai ribuan ringgit yang dipasang di laut, musnah dirosakkan oleh bot pukat ganding milik nelayan asing.

Akibatnya, nelayan tempatan hanya mampu memperoleh ikan bersaiz kecil dan kurang berkualiti kerana semua ikan gred terbaik diambil oleh nelayan asing yang akan menjual hasil tangkapan itu kepada peraih dari negara mereka yang sedia menunggu dengan kapal besar di tengah laut.

Walaupun menangkap ikan menggunakan bot nelayan tempatan dan dibenarkan membeli diesel subsidi kerajaan, nelayan asing yang menggunakan lesen ‘ali baba’ tidak akan mendaratkan hasil tangkapan berkualiti di negara ini tetapi hanya membawa ikan-ikan kecil atau dikenali sebagai ikan baja (ikan digunakan membuat baja) untuk dijual.

Dakwaan nelayan tempatan mengenai kewujudan kegiatan mengalibabakan lesen bot terbukti benar apabila wartawan yang berkesempatan menyertai Op Cantas Khas dijalankan oleh anggota Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga di perairan Kelantan menemui bot nelayan tempatan dimiliki oleh seorang individu berpengaruh telah digunakan oleh nelayan Vietnam.

Ketika pemeriksaan dalam operasi bertujuan mengesan bot-bot nelayan membawa barang-barang dilarang seperti senjata api, dadah, rokok seludup dan senjata berjadual itu, wartawan mendapati terdapat kira-kira tujuh tong berisi ais yang digunakan untuk menyimpan ikan di dalam bot berkenaan hanya diisi dengan ikan kecil dan makanan basah bagi keperluan kumpulan nelayan berkenaan.

Difahamkan, semua ikan besar yang ditangkap sebelum itu sudah dijual kepada peraih dari Vietnam dan dibawa pulang ke negara berkenaan.

Sebenarnya masalah pencerobohan perairan negara oleh nelayan asing bukan hanya dihadapi oleh nelayan di tiga negeri berkenaan tetapi wartawan dimaklumkan kegiatan haram tersebut turut berlaku di perairan seluruh negara termasuk Johor, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment