My Add

Saturday, 2 November 2013

PM ucap terima kasih kepada masyarakat India

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 01 November, 2013- Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan terima kasih kepada masyarakat India atas kepercayaan dan sokongan terhadap kerajaan untuk terus memimpin negara.

Perdana Menteri berkata, sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, beliau mengakui masih banyak yang perlu dilakukan untuk memastikan inisiatif dan perkhidmatan kerajaan sampai kepada semua masyarakat India.

"Sempena perayaan Deepavali ini, saya mengucapkan terima kasih kepada masyarakat India atas kepercayaan dan sokongan kepada kami untuk terus memimpin negara.

"Kerajaan komited untuk menyampaikan janji-janji yang dibuat kepada masyarakat India dalam Pilihan Raya Umum Ke-13," katanya dalam perutusan sempena perayaan Deepavali menerusi blog www. 1malaysia.com hari ini.

Najib berkata, dalam usaha memenuhi janji berkenaan, beliau berharap semua pemimpin masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak berkepentingan lain bekerjasama dengannya dan kerajaan kerana masih banyak perkara yang perlu dilaksanakan bersama-sama.

Dalam masa sama, beliau mengajak masyarakat meneruskan perkongsian dengan kerajaan berdasarkan kepercayaan sama yang telah terjalin.

"Perkongsian yang efektif ini akan terus memastikan kualiti hidup yang lebih baik untuk generasi masa kini dan akan datang. Kita tidak mahu sesiapa pun ketinggalan dalam kemajuan dan pembangunan negara," katanya.

Mengenai sambutan perayaan Deepavali, Najib berkata, pesta cahaya yang disambut tahun ini amat istimewa bagi rakyat Malaysia terutama kepada masyarakat India yang memilih untuk terus menyalakan kehidupan melalui sebuah kerajaan yang boleh memastikan negara kekal aman dan stabil.

"Ini adalah kejayaan kepada nambikei (kepercayaan) antara kerajaan dan masyarakat India dalam usaha kita untuk memajukan kaum itu. Ia juga petanda bahawa inisiatif transformasi kerajaan sejak empat tahun lalu telah diterima baik oleh komuniti ini," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment