My Add

Monday, 4 November 2013

Tabung Haji 'bedah siasat' perkhidmatan

 * ABDUL Azeez Abdul Rahim menyerahkan sumbangan kepada Mohd. Arif Abdul Aziz anak kepada Allahyarham Abdul Aziz Abdullah yang meninggal sewaktu menunaikan ibadah haji di Mekah ketika menziarahi ahli keluarga tersebut di Jalan Santan, Kangar, Perlis, semalam.
KANGAR, AHAD, 03 November,  2013: Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) tetap akan mengadakan 'bedah siasat' berhubung perkhidmatan musim haji tahun ini bagi tujuan penambahbaikan.

Pengerusinya, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, walaupun pihaknya tidak mendengar rungutan daripada jemaah, namun itu bukan bererti Tabung Haji berpuas hati dengan perkhidmatan musim haji yang diberikan.

''Bedah siasat tetap akan dilakukan supaya Tabung Haji terus diletakkan di tangga teratas dan terbaik di antara 140 negara di dunia yang menghantar jemaah di setiap kali musim haji," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Kampung Ujung Bukit, Bintong di sini hari ini selepas melawat waris dua jemaah haji di Perlis yang meninggal dunia di Mekah.

Beliau melawat waris Allahyarham Abdul Aziz Abdullah di Lorong Surau, Batu 3, Jalan Santan dan waris Allahyarham Halim Lebai Jaleb, 63, di Kampung Ujung Bukit, Bintong.

Abdul Azeez turut bertahlil bersama waris dan ahli keluarga serta menyampaikan sumbangan RM1,500 kepada anak sulung Allahyarham Abdul Aziz iaitu Mohd. Ariff, 28 dan anak Allahyarham Halim, Mohd. Hafiz, 38.

Mohd. Ariff berkata, dia diberitahu kematian ayahnya, bekas Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lailatul Shareen, Jalan Padang Behor di sini oleh ibunya Nisah Abdullah, 49.

Menurut Mohd. Hafiz, dia berharap Tabung Haji dapat menguruskan segera kepulangan ibu, Eshah Chik, 62, yang masih trauma dengan kematian ayahnya.

''Berita kematian ayah yang merupakan Ketua Cawangan UMNO Ujung Bukit dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Ujung Bukit ini juga masih sukar diterima oleh penduduk di sini," katanya.

Mohd. Ariff dan Mohd. Hafiz turut melahirkan rasa terima kasih terhadap sikap prihatin Tabung Haji yang menguruskan pengkebumian ayah mereka dan menjaga ibu yang masih berada di sana. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment