My Add

Monday, 4 November 2013

Malaysia-UNESCO kongsi pengalaman

Oleh Nor Aziah Jaafar

PARIS, AHAD, 03 November, 2013: Malaysia akan berkongsi pengalaman dalam melaksanakan transformasi sistem pendidikan negara terutama berkaitan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 dengan negara-negara anggota Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sempena Persidangan Agung UNESCO Ke-37 yang berlangsung dari 5 hingga 9 November ini di sini.

Duta Malaysia ke Perancis, Tan Sri Ismail Omar berkata, untuk itu satu pameran berhubung PPPM akan diadakan pada 8 November di ibu pejabat UNESCO yang akan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pendidikan.

Menurut beliau, Ketua Pengarah UNESCO, Irina Bokova akan meluangkan masa menghadiri pameran itu.

"Pameran ini diadakan untuk berkongsi pengalaman Malaysia dalam transformasi sistem pendidikan negara yang merupakan susulan daripada semakan dasar pendidikan yang dilaksanakan oleh UNESCO," katanya dalam sidang akhbar di kediamannya di sini hari ini.

Timbalan Perdana Menteri dijangka tiba di Lapangan Terbang Charles De Gaulle di sini pada pukul 6 pagi esok bagi menghadiri persidangan tersebut.

Kata Ismail, Muhyiddin akan menghadiri majlis pembukaan persidangan dua tahun sekali itu pada Selasa ini yang akan menentukan dasar dan hala tuju UNESCO bagi tempoh dua tahun akan datang dan pada Rabu akan menghadiri forum dengan pemimpin-pemimpin negara.

Menurutnya, forum itu merupakan satu dialog interaktif yang diadakan dalam kalangan ketua-ketua kerajaan serta menteri yang dijemput untuk membincangkan peranan UNESCO dalam konteks agenda pembangunan mapan pasca 2015.

Seterusnya, kata beliau, pada 7 November ini, Timbalan Perdana Menteri akan menyampaikan kenyataan nasional dari Malaysia yang mana setiap negara diberi ruang untuk berbuat demikian mengikut giliran.

Selepas itu, Timbalan Perdana Menteri dijangka mengadakan pertemuan dengan Menteri Pendidikan Oman, Dr. Madiha Al-Shabaini bagi membincangkan kerjasama pendidikan kedua-dua negara.

Malaysia menganggotai UNESCO sejak 1958 dan telah menjalin kerjasama dalam kesemua bidang kecekapan pertubuhan itu iaitu pendidikan, sains, kebudayaan serta komunikasi dan maklumat.

Sepanjang tempoh 55 tahun keanggotaan, Malaysia telah terpilih menduduki kerusi Lembaga Eksekutif UNESCO selama tujuh penggal yang merupakan badan kedua tertinggi dalam pertubuhan berkenaan. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment