My Add

Sunday, 3 November 2013

18 premis Syiah masih aktif

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN

KOTA BHARU, SABTU, 02 November, 2013: Sebanyak 18 premis Syiah di beberapa bandar utama di seluruh negara dipercayai masih beroperasi namun kekerapan aktivitinya semakin berkurangan selepas pihak berkuasa bertindak terhadap pendedahan media massa mengenai kewujudan hampir 300,000 penganut fahaman itu.

Penolong Setiausaha Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam Kementerian Dalam Negeri, Zamihan Mat Zin berkata, kesemua premis tersebut dikesan melalui kajian lapangan dan pemantauan yang dilakukan pihaknya dari semasa ke semasa bagi mengesan perkembangan ajaran itu.

Menurut beliau, perkembangan berkenaan merupakan penanda aras bahawa ajaran Syiah semakin serius dan semua pihak berkuasa agama negeri perlu bertindak membendung penularannya.

"Kalau merujuk pada dokumen Majlis Syura Syiah Malaysia, mereka mengisytiharkan bilangan pengikutnya lebih 300,000 orang, jadi kemungkinan besar itu ada juga kerana hasil kajian lapangan terhadap isu ini mendapati terdapat lebih daripada 18 pusat Syiah wujud di bandar-bandar besar di seluruh negara.

"Ini membimbangkan kita kerana ajaran itu masih aktif dan beroperasi seperti biasa cuma kekerapan itu agak kurang kerana mendapat perhatian media sehingga membawa kepada tindakan tegas kerajaan," katanya ketika ditemui pada Seminar Bahaya Penyelewengan Syiah di Kompleks Balai Islam Panji di sini hari ini.

Seminar tersebut dirasmikan oleh bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Zamihan berkata, pihak berkuasa agama perlu tegas menjalankan penguatkuasaan membendung penularan ajaran itu dan setakat ini hanya Selangor, Pahang dan Perak sahaja dilihat betul-betul serius menanganinya.

Pada masa sama, katanya, kerajaan juga mungkin perlu memperkasakan Jabatan Agama Islam di setiap negeri terutama penambahan anggota penguatkuasaan agar operasi pencegahan dapat dijalankan secara berterusan.

"Ancaman Syiah di Malaysia serius kerana merupakan ancaman akidah, ancaman syariah dan ancaman perpaduan masyarakat yang mampu memecah belahkan hubungan adik- beradik, ipar dan jiran tetangga.

"Sewajarnya Jabatan Agama Islam melalui penguatkuasaan bergerak mengambil tindakan bagi membendung gejala itu daripada tersebar sekali gus menjaga keharmonian masyarakat umat Islam yang menganut fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah," tambah beliau. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment