* MUSTAPA Mohamed (tengah) bersama Hamim Samuri (dua dari kiri), Rebecca Fatima Sta Maria (kiri) dan Noraini Ahmad (dua dari kanan) pada majlis perasmian Intrade 2013 di Kuala Lumpur, semalam. |
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, misi jualan berpotensi yang diadakan semalam telah berjaya memuktamadkan perjanjian bernilai RM1.2 bilion.
"Kami menjangkakan beberapa jualan berpotensi bernilai lebih RM200 juta lagi dimuktamadkan sepanjang Intrade berlangsung bermula hari ini hingga 28 November ini.
"Intrade 2012 telah berjaya meraih jualan semasa pameran sebanyak RM232 juta, manakala jualan melalui misi jualan berpotensi sebanyak RM583 juta. Tahun ini, Matrade telah berjaya melaksanakan tugas dengan baik," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Intrade 2013 di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Hamim Samuri, Ketua Setiausaha enteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Rebecca Fatima Sta Maria dan Pengerusi Matrade, Datuk Noraini Ahmad.
Intrade 2013 berjaya menghimpunkan 1,400 pemain industri, peserta dan pembeli daripada 64 buah negara termasuk Malaysia.
Matlamat Matrade menganjurkan pameran perdagangan itu bertujuan menggalakkan hubungan antara syarikat tempatan dengan luar negara untuk membantu mereka berkembang ke pasaran antarabangsa.
Sektor utama yang diberikan perhatian adalah bahan binaan, elektrik dan elektronik, pembuatan dan gaya hidup.
Sementara itu, mengulas mengenai perdagangan Malaysia, Mustapa berkata, kerajaan menjangkakan perdagangan negara tahun hadapan akan tumbuh sebanyak lima peratus berbanding jangkaan tiga peratus tahun ini. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment