My Add

Sunday, 3 November 2013

Ahmad Sohaimi manfaat saat-saat akhir dekati pengundi

 *AHMAD Sohaimi Lazim (tengah) berbual dengan anggota RELA ketika hadir dalam Majlis Pecah Tanah Pusat Khidmat Komuniti RELA Dulang Besar, Yan, Kedah, semalam.
 JERAI, SABTU, 02 November, 2013: Calon Barisan Nasional (BN), Dr. Ahmad Sohaimi Lazim berpendapat, beliau kini ibarat berada pada 15 minit terakhir dalam perlawanan bola sepak apabila tempoh berkempen kini memasuki 48 jam terakhir.

Ahmad Sohaimi berkata, memasuki saat-saat genting, strategi berkempen juga telah diubah bagi memastikan sentuhan terakhirnya meresap ke dalam hati pengundi yang akan membuat keputusan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau, Isnin ini.

"Strategi pada saat-saat akhir berkempen ialah tentang bagaimana berusaha untuk memperoleh gol kemenangan.

"Oleh itu, saya menggunakan baki masa yang tinggal untuk meyakinkan pengundi bahawa BN adalah pilihan terbaik untuk penghijrahan mereka," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ahmad Sohaimi yang memperkenalkan slogan Sungai Limau untuk Sohaimi Lazim (SL-SL) berkata, perkara itu semakin diterima pengundi apabila digabungkan pula dengan cetusan idea Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir yang memperkenalkan slogan 'Berani Berhijrah'.

Ahmad Sohaimi berkata, beliau kini menukar strategi dengan mendekati pengundi dalam kelompok kecil bagi menyampaikan mesej dengan lebih berkesan.

"Alhamdulillah kerana segalanya berjalan lancar. Saya melihat pengundi mula menilai ketulusan BN yang bersungguh-sungguh mahu membela nasib mereka.

"Sokongan dan keyakinan yang ditunjukkan pengundi kepada BN juga semakin meningkat sejak kempen bermula pada 23 Oktober lalu," katanya.

Ahmad Sohaimi yang juga bekas pensyarah kanan di Universiti Pendidikan Sultan Idris berkata, pada peringkat awal, beliau telah melawat semua Pusat Daerah Mengundi (PDM) bagi memberi semangat jentera parti yang membantunya dalam kempen.

"Di atas usaha keras jentera BN, kita dapat melihat hasilnya apabila bendera berwarna biru dilihat megah berkibar di seluruh pelusuk Sungai Limau dan tidak tenggelam dengan bendera hijau walaupun sebelum ini ada pihak yang melabelkan DUN ini kubu kuat Pas," katanya.

Ditanya mengenai peluangnya untuk menang dan sekaligus menamatkan penguasaan Pas selama 18 tahun di Sungai Limau, Ahmad Sohaimi berkata, beliau berasa yakin kerana beberapa faktor.

"Antaranya, saya disokong oleh kumpulan masyarakat yang sudah menganggap diri saya sebagai sahabat dan keluarga sendiri. Mereka terpikat dengan slogan SL untuk SL kerana ia menceritakan semangat saya untuk berkhidmat dan mewakili mereka," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment