My Add

Saturday, 2 November 2013

Dua pengawal guna kad pengenalan palsu dipenjara

 *TOTOH Sabatal dan Yusri Sambiron (kanan) ketika hadir di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, semalam. - Utusan/RASHID MAHFOF
PETALING JAYA, JUMAAT, 01 November, 2013: Dua pengawal keselamatan warga Filipina yang bekerja di sebuah kondominium di Sri Kembangan masing-masing dihukum penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah menggunakan kad pengenalan palsu.

Totoh Sabatal, 40, dan Yusri Sambiron, 41, yang ditangkap awal pagi ini turut diperintahkan diserah kepada Jabatan Imigresen untuk dihantar pulang ke Filipina selepas selesai menjalani hukuman.

Majistret Ahmad Solihin Abdul Wahid menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Totoh manakala hukuman ke atas Yusri diputuskan oleh Majistret K.B. Elena Hong Tze Lan.

Kedua-dua mereka didakwa secara berasingan atas pertuduhan yang serupa.

Totoh didakwa tanpa kuasa yang sah menggunakan kad pengenalan palsu bernombor 711005-12-5269 atas nama Abdulzan Ludjuman sebagai pengenalan diri.

Yusri pula didakwa melakukan perbuatan sama menggunakan kad pengenalan palsu bernombor 701113-12-5135 atas nama Norazman Abdillah sebagai pengenalan diri.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pondok pengawal Kondominium Bayan Villa, Sri Kembangan dekat sini pada pukul 1.15 pagi, hari ini.

Mereka didakwa mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan oleh pegawai pendakwa dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Zubaidah Zahol Ahmad sementara kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Utusan Malaysia pada 28 Oktober lalu melaporkan JPN mengesan ramai warga asing yang memiliki kad pengenalan palsu dan bekerja sebagai pengawal keselamatan di sektor berisiko tinggi seperti di institusi perbankan di seluruh negara.

Tangkapan kedua-dua tertuduh dijalankan oleh pihak JPN susulan arahan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada 29 Oktober lalu supaya JPN menggunakan kaedah biometrik untuk memeriksa identiti semua pengawal keselamatan di seluruh negara. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment