My Add

Saturday, 2 November 2013

Rumah: Kerajaan perlu bertindak

Oleh AQILAH MIOR KAMARULBAID

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 01 November, 2013: Kerajaan perlu segera mewujudkan mekanisme bagi mengawal harga rumah yang melambung tinggi ekoran tindakan sindiket profesional membabitkan spekulator dan pemaju bagi mengelak rakyat terutama yang berpendapatan rendah dan sederhana terus gagal memiliki rumah sendiri.

Presiden Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM), Datuk Seri Saharuddin Awang Yahya berkata, trend harga rumah yang terlalu mahal terutama di Lembah Klang menyebabkan rakyat pertengahan yang merupakan golongan majoriti turut tidak berpeluang memiliki rumah.

Situasi itu, menurut beliau, menyebabkan negara mempunyai banyak rumah kosong yang dibina pemaju untuk memenuhi permintaan pelabur asing dan spekulator, bukannya untuk rakyat.

"Ramai dalam kalangan pelabur dan spekulator memiliki dua buah rumah atau lebih sama ada untuk disewakan atau untuk mengaut keuntungan apabila dijual semula," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas pendedahan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Khairil Anuar Wan Ahmad berhubung kenaikan harga rumah hingga ke tahap tidak masuk akal khususnya di Lembah Klang yang dipercayai didalangi sindiket profesional.

Menurut Wan Khairil Anuar, sindiket itu membabitkan kumpulan spekulator dan syarikat perumahan sendiri yang mengaut keuntungan atas angin melalui jualan unit yang telah ditempah lebih awal kepada pembeli baharu dengan harga lebih tinggi.

Tambah Saharuddin, dasar penetapan harga itu perlu segera dikaji dan dibincangkan antara Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan bersama pemaju bagi mencari jalan penyelesaian dalam membantu rakyat memiliki aset jangka masa panjang sendiri.

"Penetapan harga baharu itu juga perlu mengambil kira segala bebanan dan kos pembelanjaan sara hidup rakyat. Dengan nilai harga rumah sekarang, golongan yang berpendapatan RM5,000 sebulan juga tidak mampu memiliki aset sendiri," ujarnya.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, harga rumah yang melambung turut berpunca daripada tindakan pemaju yang mendakwa unit rumah khususnya untuk bumiputera sudah habis dijual.

Sedangkan, kata beliau, unit-unit itu disimpan untuk dijual dengan harga terbuka yang lebih tinggi meskipun sebelum itu mendapat permintaan daripada kaum bumiputera.

Menurutnya, tindakan tidak wajar itu merupakan sabotaj kepada usaha kerajaan meningkatkan taraf ekonomi kaum bumiputera.

"Tindakan ini bukan sahaja menunjukkan sikap rasis pemaju terhadap usaha membangunkan ekonomi orang Melayu, malah kerajaan dan rakyat turut ditipu dari segi polisi," katanya.

Dalam pada itu, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohamed Maliki Mohamed Rapiee berharap pihak kerajaan dapat segera menyelesaikan masalah tersebut untuk memberi ruang kepada golongan muda yang sudah bekerja memiliki rumah sendiri.

Menurut beliau, golongan belia yang tinggal di kawasan bandar merupakan antara yang paling terkesan dan terhimpit dengan kenaikan harga rumah yang semakin tidak terkawal ketika ini.

"Trend kebanyakan pemaju yang bukan sahaja membina rumah tetapi bandar baharu yang menyebabkan harga rumah terus melambung. Dalam situasi ini, hanya kerajaan yang dapat membantu mengurangkan beban yang ditanggung rakyat antaranya seperti menurunkan harga proses guaman serta duti setem," katanya.

Bagi Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Jacob George pula, kawalan harga rumah di kawasan yang telah lama dibangun dilihat sukar dilaksana namun kerajaan dapat memperketatkan kawalan bagi projek-projek perumahan baharu.

"Pemaju yang mendapat bantuan dari sudut harga tanah yang murah daripada kerajaan perlu menetapkan harga pada kadar berpatutan sejajar dengan kos yang dikeluarkan dan pembeli pertama harus diberi keutamaan," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment