* IDRIS Jusoh (tengah) melihat plak perasmian yang ditunjukkan oleh Zakri Abdul Hamid (dua dari kiri) semasa beliau merasmikan Kongres Profesor Negara II di Kuala Lumpur, semalam. |
Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, sebaliknya, kerajaan memberi peluang dan bantuan kepada golongan miskin khususnya Melayu serta bumiputera Sabah dan Sarawak untuk memperbaiki kedudukan sosioekonomi mereka.
Katanya, kerajaan melaksanakannya menerusi jalan pendidikan, perkhidmatan awam dan perniagaan, tanpa mengambil alih atau menggugat kepentingan ekonomi kaum lain.
"Autonomi ekonomi pihak swasta yang dikuasai oleh orang bukan Melayu dan bukan bumiputera, yang merupakan komponen paling besar dalam keseluruhan ekonomi negara, tetap dipertahankan serta dilindungi Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan.
"Namun begitu, kerajaan masih belum berpuas hati terhadap pencapaian sosioekonomi orang Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak. Kerajaan akan terus memperkasakan kedudukan sosioekonomi mereka secara berterusan dan pada masa sama, melindungi kepentingan sosioekonomi kaum lain," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Kongres Profesor Negara II yang bertemakan Gagasan Penyatupaduan Nasional, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Emeritus Datuk Seri Dr. Zakri Abdul Hamid; Timbalannya, Profesor Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin dan Ketua Setiausaha II Kementerian Pendidikan, Datuk Seri Ir. Zaini Ujang.
Menurut Idris, kongres pada kali ini akan membincangkan isu penyatuan nasional dalam lima dimensi meliputi dari segi gagasan pembentukan bangsa Malaysia dan dalam konteks kedinamikan sistem pendidikan.
"Selain itu, isu tersebut juga akan dibincangkan dari aspek struktur sosioekonomi masyarakat, kaitan penyatuan nasional dengan kedudukan bahasa kebangsaan serta jati diri dan juga keselamatan negara termasuklah senario politik antarabangsa," jelas beliau.
Dalam pada itu, dalam sidang akhbar selepas perasmian kongres berkenaan, Idris mengumumkan kerajaan akan memberi peruntukan khas kepada MPN untuk menjalankan kajian terperinci berhubung mobiliti sosial. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment