Kita telah berusaha, selainnya tawakal - Dr. Ahmad Sohaimi
Oleh KHAIRULANUAR YAHAYA
JERAI, ISNIN, 04 November, 2013: Calon Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil DUN Sungai Limau, Dr. Ahmad Sohami Lazim menyifatkan proses pengundian hari ini sebagai kemuncak kepada usaha yang dilakukan sepanjang kempen berlangsung.
Beliau yang ditemui selepas melakukan proses pengundian di SK Dulang bersama isteri, Siti Bunga Ismail pada pukul 8.48 pagi tadi berkata, beliau lega kerana telah melaksanakan tanggungjawab sebagai calon BN.
"Perasaan sudah lega, klimaks sudah sampai hari ini. Iyalah kita orang Islamkan, kita telah bekerja dan berusaha maka hari ini kita bertawakal sahaja," kata beliau tenang.
Dr. Ahmad Sohaimi berkata, proses pengundian hari ini tidak mengganggu tidur beliau malam tadi.
"Lena, alhamdulillah semalam lena, sebelum itupun lena. Hidup perlu diteruskan," kata bekas Pensyarah Kanan Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) ketika menjawab soalan wartawan sambil tersenyum.
Melihatkan kepada cuaca yang baik pagi ini, Dr. Ahmad Sohaimi berharap agar sejumlah 27,222 pengundi di DUN Sungai Limau keluar menunaikan tanggungjawab mereka.
"Saya tengok ramai pengundi sudah keluar mengundi, saya berharap jumlah pengundi kita yang keluar mengundi akan meningkat. Sasaran kita ialah pengundi yang keluar melebihi daripada jumlah Pilihan Raya Umum yang lalu," kata Dr. Ahmad Sohaimi. - UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment