My Add

Tuesday, 5 November 2013

Kuatkan ukhuwah sesama ummah

KUALA LUMPUR, ISNIN, 04 November, 2013: Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan umat Islam di negara ini supaya menguatkan ukhuwah sesama ummah selain menginsafi nikmat yang diperolehi selama ini, sempena sambutan Tahun Baharu Hijrah 1435 esok.

Timbalan Perdana Menteri berkata, hal demikian kerana dengan kekuatan perpaduan ummah, kesucian Islam dapat dipertahankan sepanjang masa.

"Cabaran yang kita hadapi kini bukan sahaja datang dari luar sebaliknya unsur dalaman perlu diberi perhatian supaya perjuangan kita selama ini untuk memelihara kesucian Islam dapat diteruskan.

"Hanya dengan menjadi kuat, matlamat perjuangan itu akan dapat dicapai dan hanya dengan menguatkan ukhuwah sesama ummah, Malaysia akan terus unggul sebagai sebuah negara Islam yang dihormati serta disegani," katanya dalam perutusan sempena Tahun Baharu Hijrah 1435, di sini hari ini.

Muhyiddin berkata, sejarah perkembangan Islam membuktikan perjuangan para anbia yang diakhiri junjungan besar Nabi Muhammad SAW dalam memartabatkan Islam sebagai agama sejagat telah berdepan dengan pelbagai cabaran.

Namun jelasnya, kekuatan siasah, kejituan jiwa serta komitmen yang tidak pernah surut dalam kalangan para anbia menyaksikan akhirnya Islam muncul sebagai agama agung.

"Semangat dan kekuatan itu mesti ada dalam kalangan umat Islam sekarang ini. Malah roh perjuangan pejuang-pejuang Islam terdahulu mesti subur di jiwa kita agar martabat agama Islam terus dipelihara dan tidak boleh dihina oleh sesiapa pun.

"Hal ini kerana musuh-musuh Islam tidak pernah berhenti untuk merosakkan agama kita. Ancaman Zionis, kuasa Barat dan Timur sentiasa mencari peluang untuk menindas umat Islam tidak kira di ceruk dunia mana sekalipun," ujarnya.

Beliau turut mengingatkan umat Islam di negara ini dengan nasib yang menimpa kelompok minoriti sesama Islam negara lain.

"Mereka tidak mampu memperjuangkan hak mereka sedangkan kita di Malaysia amat bertuah kerana menjadi negara Islam yang mendukung kesucian agama dan meletakkan Islam di tempat tertinggi. Sebab itu, amat penting bagi kita menginsafi nikmat yang kita perolehi sekarang ini," katanya.

"Oleh yang demikian, marilah kita bersama menghayati peristiwa besar penghijrahan Nabi Muhammad yang meninggalkan kota Mekah demi menegakkan syiar Islam. Nilai penghijrahan itu perlu menjadi ilham untuk transformasi diri, keluarga dan masyarakat dalam menjadikan agenda Islam itu sebagai cara hidup yang mencakupi semua aspek," katanya.

Beliau mengakhiri perutusan dengan ucapan berikut: "Selamat Menyambut awal Muharam 1435 Hijrah. Semoga tahun ini lebih baik daripada tahun lepas dan semoga segala usaha kita mendapat keredaan di sisi Allah dan negara kita terus terpelihara". - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment