Mufti Sabah dihina dengan hidung babi
KOTA KINABALU, JUMAAT, 01 November, 2013: Kesucian agama Islam sebagai agama rasmi di negara ini terus diperlekeh apabila mufti yang bertindak sebagai badan tertinggi pentadbiran Islam pula dihina oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Ini berikutan satu akaun Facebook milik individu bergelar Joy Nandu dikesan memuat naik gambar Mufti Sabah, Bungsu @ Aziz Jaafar 'berhidungkan' babi pada pukul 10 pagi semalam, seterusnya menarik perhatian orang ramai yang turut memberikan komen tidak bermoral dan menghina beliau.
Tindakan itu sekali gus membangkitkan kemarahan umat Islam yang bertindak balas mengeluarkan pelbagai komen terhadap kritikan dan penghinaan tersebut.
Sehubungan itu, Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Samin Ongki membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu hari ini bagi membolehkan tindakan tegas dikenakan terhadap individu tidak bertanggungjawab itu.
"Perkara ini amat serius dan saya lihat sebagai satu penghinaan kepada institusi mufti dan umat Islam di Malaysia oleh seorang individu yang tidak bertamadun.
"Kalau dibiarkan, saya bimbang akan mencetuskan ketegangan antara kaum dan agama sedangkan Sabah terkenal dengan keharmonian kaum," katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis di IPD Kota Kinabalu di sini hari ini.
Tegas beliau, individu berkenaan perlu dihadapkan ke muka pengadilan bagi mengenal pasti matlamat sebenarnya melakukan tindakan tidak bertamadun itu.
"Saya yakin ini tidak menggambarkan pendirian mana-mana agama atau kaum di negeri ini yang selama ini hidup dalam keadaan harmoni," katanya.
Sementara itu, pemangku Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Peter Umbuas mengesahkan polis menerima laporan itu pada kira-kira pukul 12 tengah hari dan pihaknya akan melakukan siasatan terperinci.
Sebelum ini, Bungsu menerima kecaman hebat daripada pemimpin parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) apabila kenyataannya untuk 'Memelayukan' etnik bumiputera beragama Islam di Sabah, diputarbelitkan oleh segelintir pihak.
Kenyataan kontroversi Bungsu itu dipetik melalui ucapannya pada Simposium Mendepani Agenda Asing Melayu dalam Krisis Kepimpinan di Putrajaya, September lalu yang ditujukan khusus kepada orang Islam dengan matlamat perpaduan Islam di Sabah.
Disebabkan itu, Bungsu dipetik sebagai berkata, beliau tidak berniat menyinggung perasaan mana-mana kaum dan kumpulan etnik di Sabah kerana dia sendiri juga berasal dari Sabah yang berketurunan suku kaum Brunei dan Dusun. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment