My Add

Saturday, 2 November 2013

Majlis Peguam dipersoal

Oleh NAZMIL NASIRUDDIN
 
PUTRAJAYA, JUMAAT, 01 November, 2013: Gabungan Pertubuhan-pertubuhan Islam Dalam Proses Semakan Berkala Sejagat (MuslimUPro) mempersoalkan bagaimana Majlis Peguam mendapat mandat daripada ahlinya yang beragama Islam untuk menyokong tuntutan Gabungan NGO-NGO Hak Asasi Manusia (Comango) di Geneva pada 24 Oktober lalu.

Ketua Delegasi MuslimUPro ke Geneva, Switzerland, Azril Mohd. Amin berkata, Comango secara jelas menuntut perkara yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, antaranya melibatkan Perkara 3(1) berkaitan Islam sebagai agama Persekutuan dan menggalakkan kegiatan homoseksual melalui tuntutan menghapuskan Seksyen 377(A) Kanun Keseksaan.

"Umum mengetahui bahawa kira-kira 40 peratus daripada keahlian badan tersebut terdiri daripada kalangan peguam beragama Islam.

"Justeru, mustahil mereka memberi mandat untuk menyokong hak meninggalkan agama dan hak amalan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT)," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Azril mengulas tentang hasil pemantauan MuslimUPro pada sesi Semakan Berkala Sejagat (UPR) ke atas Malaysia oleh Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva.

Yang hadir sama, Pengerusi Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar dan Pengerusi Yayasan Nassar, Nasharudin Mat Isa.

MuslimUPRo dianggotai pertubuhan Islam utama negara antaranya Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM);

Pada masa sama, Azril turut mempersoalkan pendirian Majlis Perundingan Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Malaysia (MCCBCHST), Persekutuan Kristian Malaysia dan Persatuan Buddha Muda Malaysia yang menyokong tuntutan Comango berhubung desakan negara anggota PBB untuk mengiktiraf hak LGBT.

"Adakah ini bermakna Kristian dan Buddha di Malaysia mengiktiraf amalan homoseksual dalam agama anutan mereka.

"Pendirian ini sangat bertentangan dengan ajaran kedua-dua agama itu serta tidak sejajar dengan prinsip Rukun Negara berhubung prinsip kepercayaan kepada Tuhan serta kesopanan dan kesusilaan," katanya.

Beliau berkata, sebahagian anggota MCCBCHST yang menjadi ahli Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian Di Antara Penganut Agama, Jabatan Perpaduan Nasional dan Integrasi Nasional sepatutnya perlu bertanggungjawab dalam isu tersebut.

"Penjelasan perlu diberikan kepada rakyat mengapa mereka menyokong tuntutan yang dilarang agama mereka sendiri seperti terkandung dalam laporan Comango," katanya.

Selain itu, MuslimUPro menyeru kerajaan agar berhati-hati dalam menerima syor yang dikemukakan dalam draf laporan tersebut.

"Ini termasuk syor untuk menandatangani Perjanjian Antarabangsa Tentang Hak-Hak Awam dan Politik (ICCPR) dan Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang akan membuka ruang untuk individu Islam meninggalkan agama mereka iaitu murtad.

"Syor-syor berkaitan LGBT juga dilihat agak agresif mengenai hak golongan itu kerana hujah yang didasarkan pada pengisytiharan Prinsip-Prinsip Jogjakarta 2006 yang dibuat di Indonesia," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment