My Add

Saturday, 2 November 2013

Wujudkan pasar tani kekal

Oleh HELMI MOHD. FOAD
* ISMAIL Sabri Yaakob (tiga dari kiri) menyampaikan Anugerah Peladang Jaya kategori Lelaki kepada Abdul Aziz Hassan (kanan) sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Selangor 2013 sambil diperhatikan Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Seri Noh Omar (kiri) dan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim (belakang, kanan), di Kuala Selangor, semalam.
KUALA SELANGOR, JUMAAT, 01 November, 2013: Kerajaan akan mewujudkan pasar tani kekal di setiap negeri menjelang tahun depan bagi membolehkan para petani memasarkan secara terus produk mereka kepada para pengguna setiap hari.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu bertujuan meningkatkan pendapatan para petani, penternak dan nelayan sekali gus mengatasi masalah penguasaan orang tengah dalam rantaian pemasaran produk pertanian dan perikanan.

Beliau berkata, perkara itu telah dibincangkan dan dipersetujui oleh menteri besar di negeri-negeri yang ditadbir Barisan Nasional (BN) dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Besar yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.

"Sekarang kita hendak tengok menteri-menteri besar di negeri pembangkang, kalau mereka fikir tentang rakyat, mereka akan beri kelulusan tapak tanah untuk pasar tani kekal.

"Pada ketika ini pasar tani hanya diadakan seminggu sekali di setiap kawasan dan para peniaga terpaksa berpindah dari tapak ke tapak yang biasanya menumpang di kawasan tempat letak kereta," katanya selepas merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Selangor 2013 di pekarangan Kompleks AIDA Barat Laut Selangor di sini hari ini. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment