Muhyiddin mahu umat Islam pertahankan kesucian agama
KUALA LUMPUR, ISNIN, 04 November, 2013: Umat Islam diseru untuk menginsafi nikmat yang telah diperoleh dan terus mempertahankan kesucian Islam dengan menguatkan ukhuwah di kalangan mereka sempena bermulanya tahun baharu 1435 Hijrah.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini sekali gus akan menjadikan Malaysia terus unggul sebagai sebuah negara Islam yang dihormati dan disegani.
"Saudara kita di negara lain yang umat Islam adalah minoriti, turut menyaksikan mereka tidak mampu memperjuangkan hak mereka.
"Sedangkan kita di Malaysia amat bertuah kerana menjadi negara Islam yang mendukung kesucian agama dan meletakkan Islam di tempat tertinggi," katanya dalam perutusan Maal Hijrah 1435H yang disambut esok.
Menurutnya, cabaran yang harus dihadapi bukan sahaja datang dari luar malah unsur dalaman perlu diberi perhatian supaya perjuangan selama ini untuk terus memelihara kesucian umat Islam dapat diteruskan.
Jelas Muhyiddin, apa yang paling penting semoga kedatangan Tahun Baharu Hijrahc ini akan menyuntik semangat serta kekuatan kepada umat Islam untuk bersatu ke arah menjadi umat yang terbaik.
"Semangat dan kekuatan itu mesti ada dalam kalangan umat Islam sekarang ini. Malah roh perjuangan pejuang-pejuang Islam terdahulu mesti subur di jiwa umat Islam agar martabat agama Islam terus dipelihara dan tidak dihina oleh sesiapa pun.
"Ini kerana musuh-musuh Islam tidak pernah berhenti untuk merosakkan agama kita. Ancaman zionis, kuasa barat dan timur sentiasa mencari peluang untuk menindas umat Islam tidak kira di ceruk dunia mana sekali pun," katanya.
Sambil mengucapkan Selamat Menyambut Awal Muharram 1435H kepada umat Islam, Muhyiddin berharap umat Islam menghayati dan menjadikan penghijrahan Nabi Muhammad S.A.W. dari kota Makkah ke Madinah sebagai satu ilham dalam hidup mereka.
Katanya, ia penting untuk transformasi diri, keluarga dan masyarakat dalam menjadikan agenda Islam itu sebagai cara hidup yang mencakupi semua aspek. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment