Nelayan tempatan sokong Rakan Maritim Malaysia
KUALA LUMPUR, ISNIN, 04 November, 2013: Persatuan-persatuan nelayan menyokong penubuhan Rakan Maritim Malaysia dalam usaha membanteras kegiatan pencerobohan perairan negara oleh nelayan asing.
Pengerusi Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat), Mohamad Dolmat berkata, penubuhan pasukan bantuan tersebut sememangnya dinanti dan dijangka mampu mengatasi masalah yang sedang dihadapi negara sejak sekian lama.
Katanya, penubuhan pasukan bantuan untuk menjaga perairan negara merupakan langkah yang perlu selepas berlaku peningkatan kes pencerobohan perairan negara oleh nelayan asing.
"Nekmat turut menerima banyak laporan daripada nelayan-nelayan tempatan berkenaan pencerobohan tersebut dan turut bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi mencari jalan penyelesaian," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas penubuhan Rakan Maritim Malaysia yang berperanan membantu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dalam melaksanakan tugas menjaga perairan.
Tambah Mohamad, pencerobohan perairan negara oleh nelayan asing turut menyebabkan pendapatan nelayan tempatan terjejas apabila mereka terpaksa bersaing dengan nelayan asing untuk mendapatkan tempat yang strategik bagi menangkap ikan.
"Tidak semua kawasan di laut mempunyai ikan yang banyak dan disebabkan kawasan lubuk ikan dicerobohi nelayan asing, nelayan tempatan terpaksa bersaing dengan mereka," tambahnya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Selangor (PNNS), Mohd. Jaman Haris berkata, nelayan-nelayan tempatan sentiasa memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam menjalankan tugas mereka.
"Kerjasama dua hala antara persatuan nelayan dan Maritim Malaysia sudah lama terjalin dan penubuhan pasukan ini bakal mengeratkan lagi kerjasama tersebut," ujarnya.
Kata beliau, nelayan-nelayan tempatan bersedia membuat laporan terus kepada pihak berkuasa jika mereka bertembung dengan nelayan asing ketika berada di laut. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment