Sedia bantu negara lain wujudkan pelan pembangunan pendidikan
PARIS, SABTU, 09 November, 2013:Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) mengiktiraf Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 apabila meminta negara-negara anggota yang lain mewujudkan pelan seumpama itu untuk program transformasi pendidikan masing-masing.
Ketua Pengarah UNESCO, Irina Bokova berkata, pihaknya bangga kerana turut terlibat dalam proses penyediaan pelan berkenaan dan bersedia membantu negara-negara lain untuk berbuat demikian.
Menurutnya, pertubuhan itu telah meneliti pelan berkenaan dan mendapati PPPM 2013-2025 merupakan contoh terbaik dalam pembangunan pendidikan sejagat yang boleh diikuti oleh negara-negara lain.
Beliau yakin pelan itu boleh dicapai berdasarkan kepada kesungguhan Malaysia melaksanakannya secara holistik dengan kajian serta perancangan begitu teliti di semua peringkat.
"Pelan pendidikan ini merupakan satu agenda besar dan bercita-cita tinggi untuk mewujudkan satu sistem pembangunan pendidikan yang inklusif sebagai asas menuju negara maju pada 2020.
"UNESCO percaya pelan ini boleh dicapai jika Malaysia fokus dalam melaksanakannya. PPPM merupakan satu contoh positif yang boleh dilaksanakan, jadi UNESCO sedia membantu negara lain untuk berbuat seperti Malaysia," katanya berucap pada Pameran PPPM 2013-2025 di ibu pejabat UNESCO di sini semalam.
Pameran itu dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pendidikan. Yang turut hadir Duta Besar Malaysia ke Perancis, Tan Sri Ismail Omar dan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Dr. Khair Mohamad Yusof.
Menurut Irina, PPPM 2013-2025 dilaksanakan pada masa yang tepat dalam membantu meningkatkan kualiti pendidikan bukan sahaja di Malaysia tetapi dapat dijadian contoh kepada negara lain yang mahu memajukan sistem pendidikan masing-masing berikutan semakan semula dasar pendidikan oleh UNESCO.
Jelasnya, pendidikan bukan sahaja merupakan hak bagi setiap individu, malah aspek berkenaan penting untuk proses pembangunan ekonomi dan negara yang mapan dan perkara itu merupakan asas dalam pembentukan PPPM 2013-2025.
"Ini merupakan visi untuk sebuah masyarakat yang membangun di mana semua perkara bergerak secara bersama, di mana ekonomi, masyarakat dan kebudayaan membangun secara harmoni. Tidak banyak negara khususnya anggota UNESCO mampu melaksanakan transformasi pendidikan seperti yang dapat dilakukan oleh Malaysia melalui PPPM 2013-2025 bagi tempoh jangka panjang secara komprehensif," katanya.
PPPM 2013-2025 yang dilancarkan pada September lalu mempunyai 11 anjakan utama transformasi sistem pendidikan negara antaranya menyediakan kesamarataan akses kepada pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa.
Pelan itu juga bagi memastikan setiap murid menguasai kemahiran dalam bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris, melahirkan rakyat yang menghayati nilai, mentransformasikan keguruan menjadi profesion pilihan dan bekerjasama dengan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta secara meluas. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment