KDN arah henti ambil pengawal keselamatan sementara
Oleh AMRAN MULUP
MELAKA, JUMAAT, 01 November, 2013: Syarikat kawalan keselamatan tidak lagi dibenarkan mengambil pengawal keselamatan berjawatan sementara kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Menurutnya, langkah itu diambil adalah sebahagian daripada tindakan drastik kementerian berikutan kejadian pengawal keselamatan melakukan rompakan masih terus berlaku.
Beliau berkata, kementerian memandang serius berhubung kejadian yang menimpa pegawai bank operasi AmBank, Allahyarham Norazita Abu Talib, bulan lalu dan terbaharu, seorang pengawal keselamatan merompak sebuah kedai emas yang berlaku di Setapak semalam.
"Saya akan meminta unit keselamatan kementerian untuk memaklumkan kepada semua syarikat keselamatan di seluruh negara agar tidak lagi membuat pengambilan pengawal keselamatan berjawatan sementara.
"Ada pelanggan terdesak inginkan pengawal keselamatan dan syarikat kawalan keselamatan tanpa berfikir panjang terus melantik mereka sebagai pekerja sementara dan ini tidak lagi dibenarkan oleh kementerian," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Penjara Malaysia ke-206 di Dataran Sejarah Ayer Keroh di sini hari ini.
Yang turut hadir Timbalan Setiausaha Kanan (Pengurusan), Datuk Daud Tahir; Ketua Pengarah Penjara, Komisioner Datuk Sri Zulkifli Omar; Timbalan Ketua Pengarah Penjara (Keselamatan dan Koreksional), Komisioner Jeneral Datuk Hassan Sakimon.
Wan Junaidi berkata demikian mengulas mengenai kejadian terbaharu di Setapak semalam apabila seorang pengawal keselamatan yang baharu sebulan bekerja, bertindak nekad merompak sebuah kedai emas di dalam pusat beli-belah KL Festival City. - UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment